[VIDEO] Padang berlopak ganggu 'game', pemain PERR ATM terpaksa cedok air sebelum sepakan penalti


  • Podium
  • Ahad, 16 Nov 2025

Tangkap layar menunjukkan para pemain ATM (jersi merah biru) mencedok air bertakung sebelum sepakan penalti dalam aksi bertemu Kuala Lumpur pada Sabtu.

TULAR di media sosial satu rakaman yang mencuit hati memaparkan kerjasama pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika aksi final Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2025 apabila mereka dilihat mencedok air bertakung bagi memastikan sepakan penalti rakan sepasukan tidak terganggu.

Video yang dikongsikan pengguna TikTok, @vortexklfc itu pantas mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Dalam rakaman tersebut, beberapa pemain ATM berbaju merah biru kelihatan berlari ke kawasan titik penalti sebelum bersama-sama mencedok air yang bertakung akibat padang becak dalam usaha memberi laluan lebih baik untuk Seherry Aladin menyempurnakan sepakan penting itu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Karier naik turun jadi pengajaran', Luqman Hakim akui tak terlambat buktikan prestasi

BACA LAGI: [VIDEO] Pearly Tan-Thinaah rangkul Japan Masters, gelaran ke-3 musim ini bawa pulang lebih RM155,000

Aksi lucu namun penuh semangat itu berlaku ketika perlawanan akhir PERR 2025 membabitkan ATM dan Kuala Lumpur di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada Sabtu.

Namun begitu, usaha tersebut tidak membuahkan hasil apabila sepakan Seherry berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Muhammad Hanif Faizal, sekali gus membantu skuad Warga Kota muncul juara edisi ke-103 kejohanan berprestij itu.

Dalam aksi tersebut, Kuala Lumpur menamatkan penantian 31 tahun untuk menjulang semula Piala Emas Raja-Raja selepas menang 1-0 hasil jaringan tunggal Suhaimi Abu.

Kejuaraan terakhir mereka direkodkan pada 1994 ketika menewaskan Perlis 2-1.

Sebagai juara, Kuala Lumpur membawa pulang piala pusingan, pingat serta hadiah wang tunai RM50,000, manakala ATM menerima RM30,000 beserta pingat selaku naib juara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram