KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi dua produk kosmetik selepas didapati mengandungi racun berjadual berbahaya, menjadikan produk tersebut tidak sah untuk dijual di negara ini.
KKM menerusi kenyataan pada Sabtu, produk terlibat ialah JJF Cream Herba yang mengandungi merkuri dan betametason 17-valerat serta JF Cream Treatment yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin.
"Notifikasi kedua-dua produk kosmetik ini telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi KKM dan produk ini tidak dibenarkan dijual di Malaysia," kata kenyataan itu.
BACA LAGI: 'Jangan jadi kera sumbang', Cikgu Saffuan kongsi 7 tip ‘survive’ di pedalaman Sarawak
BACA LAGI: Dilema berumah di ibu kota, antara apartmen sempit RM600,000 di KL atau teres dua tingkat di Kajang

Merkuri dalam krim kosmetik boleh membahayakan buah pinggang, sistem saraf dan kulit. — Gambar hiasan/Freepik
Jelas KKM, merkuri dilarang dalam kosmetik kerana ia boleh diserap ke dalam badan, berisiko merosakkan buah pinggang, sistem saraf dan mengganggu perkembangan otak kanak-kanak atau bayi yang belum lahir.
"Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," tambah kenyataan itu.
Kosmetik yang mengandungi betametason 17-valerat, hidrokuinon dan tretinoin dikategorikan sebagai ubat dan mesti didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Ia hanya boleh digunakan di bawah nasihat profesional kesihatan.
Penggunaan betametason 17-valerat boleh menyebabkan kulit menjadi nipis, mudah iritasi, lebih mudah berjerawat dan perubahan warna kulit.
Bahan itu juga berisiko diserap ke dalam aliran darah yang boleh membahayakan kesihatan.
Hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan hipersensitiviti.
Ia boleh mengganggu proses pigmentasi (depigmentasi), mengurangkan perlindungan semula jadi kulit terhadap sinaran UV berbahaya, serta meningkatkan risiko kanser kulit.
Tretinoin pula boleh menyebabkan kulit menjadi merah, tidak selesa, sakit, mengelupas dan lebih sensitif terhadap cahaya matahari.
Penjual dan pengedar diwajibkan berhenti menjual dan mengedarkan produk kosmetik ini serta-merta kerana melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
Pengguna dinasihatkan hentikan penggunaan produk ini serta-merta dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
