Anak sulung selamat bertunang, Che Ta tampil anggun berbusana kuning keemasan rekaan Ezuwan Ismail


  • Cinta
  • Isnin, 27 Okt 2025

Che Ta berkongsi momen indah majlis pertunangan anak sulungnya yang berlangsung pada Sabtu.

PELAKON dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta kini meniti detik bahagia apabila anak sulungnya, Ammar Effendy selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan pilihan hatinya, Auni Ikhwan pada Sabtu.

Majlis yang diadakan di Lantera Venue, Shah Alam, Selangor itu berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh meriah, disaksikan oleh keluarga terdekat dan sahabat rapat. 

Beberapa momen istimewa sekitar majlis turut dikongsikan oleh Che Ta sendiri menerusi laman media sosial, memperlihatkan kegembiraan keluarga menyambut hari bermakna tersebut.

BACA LAGI: Oki Setiana Dewi anggap Mesir tempat tepat untuk bentuk karakter anak, didik cintakan Al-Quran dan Palestin

BACA LAGI: MonaLesa Brackett cipta sejarah finalis berhijab pertama Miss USA, angkat impian arwah ibu

Difahamkan, keluarga pelakon drama Susuk 2 itu hadir dengan 10 dulang hantaran sebagai tanda rasmi pertunangan antara dua keluarga. 

Majlis turut diserikan dengan doa pembuka oleh Pencetus Ummah Amin, manakala Hunny Madu diberi tanggungjawab sebagai pengacara majlis.

Dalam acara penuh adat dan kasih itu, Che Ta tampil anggun mengenakan busana berona kuning keemasan rekaan Ezuwan Ismail, manakala dekorasi serta dulang hantaran indah untuk kedua belah pihak disempurnakan oleh pereka fesyen terkenal, Man Kajang.

Menerusi hantaran di media sosialnya, Che Ta turut menzahirkan rasa syukur dan doa agar ikatan pertunangan anaknya itu diberkati serta dipermudahkan menuju ke alam perkahwinan.

“Alhamdulillah, tahniah atas pertunangan ini. Semoga ikatan yang terbina diberkati ALLAH, dipermudahkan urusan menuju ke perkahwinan dan kekal bahagia hingga ke syurga,” tulisnya .

Untuk rekod, Ammar Effendy merupakan anak hasil perkahwinan pertama Che Ta bersama bekas suaminya, Azhari Mohd Zain, sebelum beliau mendirikan rumah tangga dengan pelakon Zain Saidin pada 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram