'Rasa macam ayah paling bertuah di dunia', tukang gunting rambut sebak lihat anak gadis derita kanser kelenjar terima ijazah UUM


  • Massa
  • Selasa, 11 Nov 2025

Fatini Alya menerima segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen UUM ke-38, Sesi Kelima pada Selasa.

HIDUP tanpa air liur mungkin sukar dibayangkan, tetapi itulah realiti yang dihadapi Fatini Alya Baharudin, 24 tahun, atau lebih mesra dipanggil Tini, selepas disahkan menghidap kanser kelenjar air liur sejak 2021.

Menerima segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-38, Sesi Kelima pada Selasa, kisah wanita berusia 24 tahun itu menyentuh hati graduan yang lain. 

Manakan tidak, walaupun bergelut dengan kesakitan, namun Fatini yang lebih dikenali sebagi Tini di universiti berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.59.

BACA LAGI : [VIDEO] Ambil iktibar staf wanita dirompak ketika bekerja seorang diri, usahawan tudung Terengganu tingkatkan keselamatan butik

BACA LAGI :  [VIDEO] 'Aturan ALLAH sangat sempurna', penerima Anugerah Emas Naib Canselor UUM tidak kibar bendera putih waima derita kanser

Menurut Tini, semuanya bermula pada tahun 2021, ketika negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

"Saat orang lain berperang dengan ancaman Covid-19, dua pula diduga dengan kanser kelenjar air liur," katanya.

Sejak hari itu, hidup anak bongsu dari 3 beradik itu berubah sepenuhnya dan Tini perlu menjalani enam pusingan kemoterapi dan 30 sesi radioterapi di Hospital Pulau Pinang.

 

Fatini Alya Baharudin

Rawatan itu tidak mudah, namun di tengah-tengah derita itu, Tini tidak pernah mahu berhenti belajar. 

Dalam keadaan sakit dan tidak selesa, dia tetap membawa buku ke mana-mana, termasuk ketika menunggu giliran rawatan.

"Kadang saya baca nota sambil baring. Kalau tak boleh bercakap, saya tulis. Saya cuma fikir, kalau berhenti sekarang, saya akan rugi semua yang saya dah lalui,” katanya.

Bapanya, Baharudin, seorang tukang gunting rambut di kampung, dan ibunya, seorang suri rumah, sentiasa di sisi. 

Mereka sanggup menyewa rumah kecil berhampiran hospital supaya mudah menemaninya sepanjang tempoh rawatan.

Fatini Alya disahkan menghidap kanser kelenjar air liur sejak 2021.

Ketika ditanya tentang perasaannya melihat anak bongsu naik ke pentas, Baharudin tidak mampu menahan sebak.

“Saya cuma tukang gunting rambut biasa. Tapi hari ini rasa macam ayah paling bertuah di dunia. Tengok dia naik pentas, semua penat dulu hilang,” katanya. 

Tini mahu teruskan hidup dengan semangat baharu. Walaupun tubuhnya tidak lagi sama seperti dahulu, dia yakin Tuhan tidak pernah mengambil sesuatu tanpa menggantikan dengan kekuatan lain.

"Saya kehilangan kelenjar air liur, tapi saya tak kehilangan harapan. Saya kehilangan keselesaan, tapi saya tak kehilangan keberanian," ujarnya penuh makna.

Tini turut menitipkan pesanan kepada mereka yang sedang berjuang melawan kesakitan, sama ada secara fizikal mahupun emosi.

"Jangan putus asa. Sakit bukan alasan untuk berhenti berjuang. Percaya pada doa, pada kasih keluarga, dan pada diri sendiri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram