MALAYSIA perlu meningkatkan perlindungan terhadap spesies ikan yu dan pari yang terancam bagi memastikan kelangsungan hidup haiwan tersebut.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Traffic Southeast Asia dan WWF-Malaysia dalam kenyataan bersama berkata, berdasarkan kajian bertajuk "From Sea to Screen: Malaysia’s Online Shark and Ray Trade" mendedahkan lebih RM326 juta perdagangan dalam talian membabitkan produk ikan yu dan pari dikesan berlaku secara aktif di platform e-dagang utama dalam negara.
Dalam kajian itu juga mendapati aktiviti jual beli tersebut membabitkan sekurang-kurangnya 5.25 juta kilogram produk antara Oktober hingga Disember 2022.
"Penemuan ini sangat membimbangkan kerana spesies terancam di perairan Malaysia bukan sahaja tidak dilindungi, malah aktif dijual secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ikan pari Whipray. — Agensi
Sebahagian spesies yang diniagakan dikenal pasti tergolong dalam kategori sangat terancam (Critically Endangered) dan terancam (Endangered) seperti pari baji (Rhynchobatus australiae) dan pari cambuk (Maculabatis spp)
"Kajian juga mendapati pembelian dalam talian bukan hanya melibatkan sirip yu sahaja.
"Daging segar dan yang sudah diproses turut mendominasi dari segi kuantiti, manakala badan keseluruhan haiwan pula paling kerap dijual dalam talian," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, beberapa spesies ikan yu dan pari yang dikenalpasti dalam dijual dalam talian termasuk spesies terancam seperti ikan yu Wedgefish dan pari Whipray yang semakin pupus.
"Kesemua spesies ikan yu dan spesies pari yang dikenal pasti dalam senarai kajian itu adalah hidupan laut di perairan Malaysia, namun tiada satu pun yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985,” menurut kenyataan itu lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
