[VIDEO] 'Hilangnya orang yang penuh kasih sayang', 2 beranak maut pesawat ringan hantar bantuan kemanusiaan ke Jamaica terhempas di Florida


  • Benua
  • Selasa, 11 Nov 2025

Alexander (kiri) dan Serena meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas pesawat yang mereka naiki terhempas di Florida. — Agensi

SEORANG bapa dan anak perempuannya maut selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas di kawasan perumahan di Coral Springs, Florida, Amerika Syarikat ketika dalam perjalanan membawa bekalan bantuan kemanusiaan ke Jamaica susulan kemusnahan akibat Taufan Melissa.

Kejadian yang berlaku pada Isnin itu juga berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik penduduk di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan rasmi di laman web kerajaan City of Coral Springs, kejadian berlaku pada pukul 10.19 pagi waktu tempatan.

BACA LAGI: Bukan sekadar pantau tabiat makan, sokongan psikologi elak budak kena 'diabetes burnout'

BACA LAGI: Gagal kawal nafsu dan baran, FAM ada sejarah gantung 2 pemain Liga M seumur hidup

Jabatan Polis Coral Springs dan Jabatan Bomba Coral Springs-Parkland kemudian mengesahkan dua mangsa terkorban dalam insiden berkenaan.

Memetik laporan CNN, pesawat jenis Beech B100 turboprop itu berlepas dari Lapangan Terbang Eksekutif Fort Lauderdale pada pukul 10.14 pagi, sebelum terhempas ke dalam sebuah kolam di kawasan perumahan berpagar.

Susulan kejadian itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat kini menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.

Mangsa dikenali sebagai Alexander Wurm, 53, dan anak perempuannya Serena, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

 

 

 

Pertubuhan kebajikan milik keluarga itu, Ignite the Fire Ministry, dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika dalam misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Jamaica.

“Alexander, pengasas kepada Ignite the Fire Ministry, dikenali sebagai seorang yang penuh kasih sayang dan sentiasa berbakti kepada masyarakat.

"Dia menjelajah ke pelbagai negara membawa mesej keimanan dan membantu mereka yang memerlukan.

"Selain peranan sebagai suami, bapa dan mentor, dia seorang yang sentiasa memahami dan menerima orang lain dengan penuh hikmah. Cintanya akan terus hidup dalam setiap kerja kebajikan yang diteruskan," menurut kenyataan itu.

Anak perempuannya, Serena, digambarkan sebagai seorang yang penyayang dan berdedikasi terhadap kerja kemanusiaan, mengikuti jejak langkah bapanya dalam membantu masyarakat.

"Perjalanan terakhir mereka melambangkan keikhlasan dan keberanian, menjadi peringatan tentang kekuatan kasih dan semangat membantu," tulis organisasi itu lagi.

Alexander meninggalkan seorang isteri, Candace, dan dua lagi anak, James dan Christiana.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram