[VIDEO] 'Jalan berlopak tapi pandu laju', treler rempuh trak pikap di Jalan Pesisir Bintulu-Miri


  • Kes
  • Rabu, 12 Nov 2025

Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pihak bomba dan meninggal di tempat kejadian.

LELAKI warga Indonesia terkorban manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan treler dan pacuan empat roda di Jalan Coastal Bintulu-Miri pada Rabu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kejadian yang berlaku di hadapan Shell Samalaju melihatkan dua mangsa tersepit di dalam kenderaan sewaktu bantuan sampai.

Pihak bomba mengesahkan yang mereka menerima panggilan kecemasan pada 5.33 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dikerah ke lokasi.

BACA LAGI: [VIDEO] Zus Coffee buat laporan polis staf diserang pelanggan, nafi berhentikan pekerja

BACA LAGI: Gara-gara kerap tayang 'selfie', wanita Indonesia dipukul suami tua cemburu buta

"Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah treler panjang dan kenderaan pacuan empat roda yang mengakibatkan dua mangsa tersepit di dalam kenderaan berkenaan.

"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan.

Dalam rakaman yang tular di media sosial, dapat dilihat pemanduan laju dilakukan dengan keadaan jalan berlopak di kawasan kejadian.

Mangsa warganegara Indonesia, Ahmad Sucipto, yang memandu pacuan empat roda itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu treler, Johari Lamat, 44, cedera di kaki kiri manakala kelidan dikenali sebagai Defri yang juga warga Indonesia mengalami cedera ringan.

Seorang lagi mangsa iaitu Kelimen Jundie, 45, yang menaiki pacuan empat roda juga mengalami kecederaan.

Operasi selamat dilaksanakan sekitar 7.16 malam dengan kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan awal sebelum dibawa ke hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram