BIARPUN tubuh masih lemah akibat rawatan kemoterapi, semangat yang kental dalam diri Nor Shamira Irwani Farid, 24, tidak pernah luntur untuk menjejakkan kaki ke Dewan Mu’adzam Shah Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bukan hanya hadir sebagai graduan biasa, Nor Shamira penerima menerima Anugerah Emas Naib Canselor yang disampaikan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Diiringi semangat juang dan ketabahan luar biasa, anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan itu muncul di pentas konvokesyen dengan senyuman walaupun keadaan dia masih berjuang melawan kanser limfoma tahap empat.
BACA LAGI: Penuntut UUM maut dihimpit bas rupa-rupanya anak sulung, harapan keluarga Felda Chempaka Labis
BACA LAGI: Pemandu bas negatif dadah, jantung lebam akibat hentakan punca penuntut UUM maut
Nor Shamira yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial mengakui tidak menyangka dapat hadir ke majlis berkenaan kerana keadaan kesihatannya yang tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.
"Saya gembira sangat sebab sepatutnya saya tak dapat datang, tapi alhamdulillah lepas dua cycle kemo, banyak kemajuan. Kanser pun dah banyak kecut, tinggal parut sahaja," katanya memetik video dimuat naik UUM.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan menghidap kanser darah (limfoma) pada 19 Ogos lalu, hanya beberapa minggu selepas menamatkan latihan industri di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).
"Saya dapat tahu dapat kanser limfoma after saya dah habis present untuk internship dekat PPUM. Saya present intern pada 1 Ogos dan dapat tahu 19 Ogos lepas.
"Waktu belajar tiada tanda-tanda, cuma ada ketulan dekat atas tulang selangka. Tapi ketulan itu tak semakin besarlah. Jadi, saya biarkan sahaja. Saya tak ada simptom macam demam ke atau letih lesu ke tak ada," kongsinya.
Dia mengakui sudah menyedari kehadiran benjolan itu sejak setahun sebelumnya, namun menangguhkan pemeriksaan lanjut kerana mahu menumpukan perhatian kepada pengajian serta aktif dalam kegiatan persatuan di universiti.
"Tahun ini masa intern, ketulan tu makin besar dan bertambah banyak di leher. Jadi saya buat pemeriksaan di hospital, dan selepas ultrasound, FNAC dan biopsi, barulah dapat keputusan rasmi.
"Bila dah habis selesai semua intern dan degree baru dapat official diagnosis baru buat rawatan. Alhamdulillah ALLAH bagi saya habiskan degree betul-betul, baru Dia bagi saya tahu ada sakit kanser ini," ujarnya.
Menurutnya, doktor memaklumkan kanser tersebut sudah berada di tahapempat selepas ia merebak ke hati, paru-paru dan limpa, namun dia bersyukur kerana rawatan menunjukkan perkembangan positif.
Kini Nor Shamira menjalani rawatan kemoterapi secara harian di hospital setiap dua minggu sekali, membolehkannya kembali aktif dan menghadiri majlis graduasi buat kali pertama sejak disahkan menghidap penyakit itu.
Menyentuh tentang kekuatan diri, graduan itu berkata, semangatnya banyak disokong oleh keluarga, rakan-rakan dan pensyarah yang tidak henti memberi dorongan sepanjang tempoh rawatan.

Nor Shamira menunjukkan Pingat Emas Naib Canselor yang diraih pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Sintok, Kedah pada Ahad. — Facebook/UUM
"Pesan saya, saya tahu susah nak kuat tapi kalau rasa nak nangis tu nangis saja tapi at the end you have to be strong. You have to pegang dengan semangat yang orang lain bagilah.
"Sebab orang sekeliling pun bagi sokongan kan. Jadi, pegang sokongan itu supaya you boleh keep on moving forward lah. Then you boleh kuat tahan," pesannya yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94.
Nor Shamira tidak melihat penyakit sebagai penghalang untuk berjaya, sebaliknya dia menjadikan setiap ujian sebagai peringatan untuk terus berusaha dan menghargai kehidupan.
"Tuhan punya aturan sangat sempurna. Dia bagi saya habiskan degree dulu, baru saya tahu tentang penyakit ni. Saya anggap itu rezeki dan peluang untuk saya terus berjuang," katanya penuh syukur.
Selepas pulih sepenuhnya, Nor Shamira berhasrat untuk meneruskan kerjaya sebagai pekerja sosial dengan niat mahu membantu serta memberi inspirasi kepada pesakit lain bahawa masih ada harapan untuk sembuh dan berjaya walau dalam apa jua keadaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
