Rambut lebat kian menipis akibat gugur? Ini 5 vitamin, mineral yang perlu anda ambil


  • Gaya
  • Ahad, 09 Nov 2025

Rambut gugur boleh jadi petanda kekurangan nutrien penting dalam badan. — Gambar hiasan/Janaan AI

KEGUGURAN rambut adalah perkara biasa dalam kehidupan harian. 

Setiap hari, kita akan gugur antara 50 hingga 100 helai rambut dan jumlah ini boleh meningkat sementara ketika perubahan musim, tahap hormon, atau diet berubah. 

Namun, apabila rambut gugur secara berlebihan atau berterusan, ia mungkin petanda tubuh anda kekurangan nutrien penting. 

BACA LAGI: Universiti terkemuka Korea Selatan 'reject' 45 pelajar gara-gara rekod buli

BACA LAGI: Dilema berumah di ibu kota, antara apartmen sempit RM600,000 di KL atau teres dua tingkat di Kajang

Anabel Kingsley merupakan pakar trikologi dari New York. — Instagram/@anabel_kingsley

Menurut pakar trikologi Anabel Kingsley, rambut sangat sensitif kerana ia tisu yang bukan keutamaan badan, apabila badan kekurangan nutrien, rambut sering menjadi yang pertama terjejas. 

Berikut adalah lima nutrien penting yang perlu diberi perhatian untuk kesihatan rambut:

1. Zat besi dan ferritin (Zat besi tersimpan)

Zat besi memainkan peranan utama dalam pertumbuhan rambut kerana ia membantu menghasilkan sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh, termasuk folikel rambut. 

Kekurangan zat besi atau ferritin, iaitu bentuk simpanan zat besi dalam badan sering dikaitkan dengan rambut gugur berlebihan atau telogen effluvium, terutamanya pada wanita yang datang haid atau mereka yang mengamalkan diet vegetarian dan vegan. 

Selain rambut gugur, kekurangan zat besi boleh menyebabkan keletihan, kulit pucat dan tenaga yang rendah.

 Pengambilan makanan kaya zat besi atau suplemen boleh membantu, tetapi biasanya memerlukan tiga hingga enam bulan sebelum paras ferritin kembali normal. 

Bagi mereka yang mengalami kekurangan teruk, suntikan zat besi boleh mempercepat pemulihan.

2. Vitamin B12

Vitamin B12 penting untuk metabolisme asid amino yang membina rambut serta memastikan sel darah merah sentiasa sihat untuk membekalkan oksigen mencukupi ke folikel rambut. 

Kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan rambut menipis, keletihan, kelemahan badan dan masalah saraf. 

Kerana vitamin ini kebanyakannya diperoleh daripada sumber haiwan, vegetarian dan vegan perlu lebih berhati-hati dalam memastikan pengambilan harian mencukupi.

Rambut nipis adalah disebabkan kekurangan vitamin B12 boleh. — Gambar hiasan/Agensi

3. Biotin

Dikenali sebagai 'vitamin rambut', biotin membantu tubuh menukar protein, lemak dan karbohidrat daripada makanan menjadi tenaga. 

Sel rambut adalah antara sel yang paling cepat berkembang, jadi tenaga yang mencukupi sangat penting. 

Walaupun begitu, kekurangan biotin sebenarnya jarang berlaku. 

Mengambil suplemen biotin sahaja tidak akan menghentikan rambut gugur melainkan masalah itu memang berpunca daripada kekurangan biotin. 

Pendekatan yang lebih seimbang dengan diet dan nutrien lain biasanya lebih berkesan.

4. Zink

Zink memainkan peranan penting dalam fungsi folikel rambut dan boleh membantu mempercepatkan pemulihan folikel yang lemah. 

Kekurangan zink akan menjadikan rambut rapuh, mudah patah dan kurang bermaya. 

Makanan seperti kekacang, biji-bijian dan bijirin penuh adalah sumber zink yang baik dan boleh menyokong pertumbuhan rambut yang lebih sihat.

5. Vitamin D

Dikenali sebagai vitamin cahaya matahari, vitamin D sangat penting untuk kesihatan folikel rambut. 

Kekurangannya boleh mengganggu kitaran pertumbuhan rambut menyebabkan rambut gugur lebih banyak daripada biasa. 

Menghabiskan masa di luar rumah untuk mendapat cahaya matahari atau mengambil makanan yang diperkaya vitamin D boleh membantu mengekalkan tahap vitamin D yang sihat.

Walaupun suplemen boleh membantu menyokong kesihatan rambut, mengenal pasti punca sebenar rambut gugur adalah lebih penting. 

Diet seimbang yang kaya dengan protein, sayur-sayuran dan bijirin penuh turut membantu badan menyerap nutrien dengan lebih berkesan. 

Bagi mereka yang mengalami rambut gugur berlebihan atau berlarutan, mendapatkan nasihat pakar kesihatan adalah langkah terbaik untuk mencari penyelesaian yang sesuai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram