HOSPITAL seharusnya menjadi tempat yang tenang dan kondusif untuk pesakit berehat serta menjalani proses pemulihan dengan selesa.
Namun, ada segelintir individu yang dilihat tidak peka terhadap keadaan sekeliling apabila gagal menjaga adab dan menghormati pesakit lain, khususnya ketika berkongsi wad di hospital.
Baru-baru ini, tular satu perkongsian di laman Threads, Naiem Marzuki yang meluahkan rasa kecewa terhadap sikap tidak bertimbang rasa sesetengah individu di wad kanak-kanak sebuah hospital.
BACA LAGI: [VIDEO] Niat bagus nak tolong kawan, tapi cara U-turn rider wanita boleh bahayakan diri
BACA LAGI: [VIDEO] Ultras Nogori 9 tampal stiker di pesawat undang bahaya, wajib dikenakan tindakan tegas
Menurutnya, anaknya yang sedang demam teruk tidak dapat tidur kerana terganggu dengan bunyi kuat kerana ada individu lain yang bermain telefon pintar di dalam wad berkenaan pada waktu malam.
"Bayangkan anak tengah demam teruk, tapi tak boleh tidur sebab ada orang main telefon kuat-kuat dalam wad! Dah tegur, dah e-mel hospital pun, tapi perangai sama juga," tulisnya di laman Threads pada Khamis.
Namun, Naiem tidak menyatakan lokasi sebenar hospital terbabit.
Tambahnya lagi, walaupun pihak hospital sudah mengambil tindakan menegur, situasi berkenaan tetap berulang tanpa sebarang pemantauan lanjut.
"Kalau dah duduk wad kongsi, tolonglah ada sedikit adab dan empati. Hospital pula jangan sekadar tegur sekali, pantau la betul-betul!" ujarnya.
Video yang dikongsikan bersama hantaran itu turut memperdengarkan bunyi kuat dari telefon pintar individu tersebut sekali gus menimbulkan rasa marah dalam kalangan netizen yang menganggap perbuatan tersebut tidak beradab dan mementingkan diri.
Kesimpulannya, kejadian seperti itu seharusnya menjadi peringatan kepada orang ramai agar lebih beradab dan prihatin terhadap pesakit lain, terutama di wad yang dikongsi bersama.
Walaupun kelihatan remeh, sikap tidak sensitif seperti membiarkan telefon berbunyi kuat boleh mengganggu waktu rehat pesakit dan menjejaskan suasana hospital yang sepatutnya tenang.
Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berhubung perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
