TULAR di media sosial satu rakaman video memaparkan detik cemas sekumpulan peniaga dipercayai warga asing bertempiaran lari selepas kawasan niaga mereka diserbu penguat kuasa di Semporna, Sabah baru-baru ini.
Menerusi video berdurasi 27 saat yang dikongsikan di laman Facebook, kelihatan beberapa individu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, malah ada antara mereka sanggup meninggalkan barangan jualan di tapak perniagaan masing-masing.
Menurut laporan, kejadian itu berlaku di kawasan Pasar Semporna dan menarik perhatian ramai warga maya yang mempersoalkan keberanian pihak tertentu menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah.
Susulan kejadian, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa pihaknya melaksanakan Operasi Cegah Jenayah di kawasan Pasar Ikan Semporna bermula pukul 6.00 petang hingga 9.00 malam.
Operasi berkenaan diketuai oleh Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Ja’afar Hakim, bersama Pemangku Ketua Bahagian Ketenteraman Awam, Inspektor Ab Nasir Abdul Lala serta Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Inspektor Yahya Abu Seman, melibatkan seramai 22 anggota dari pelbagai bahagian IPD Semporna.
Menurut kenyataan polis, operasi tersebut dijalankan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan tumpuan ramai selain mencegah sebarang aktiviti jenayah.
Sepanjang operasi, 97 individu telah diperiksa, manakala 17 orang dibawa ke IPD bagi tujuan dokumentasi dan saringan awal ujian air kencing.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati hanya seorang individu ditahan selepas disahkan positif ujian air kencing.
Dalam perkembangan sama, imej daerah Semporna sebagai destinasi pelancongan popular dilihat semakin tercalar susulan beberapa insiden tular kebelakangan ini yang melibatkan peniaga tempatan dan pelancong luar negara.
Baru-baru ini, seorang pelancong dari China mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan ketika membeli makanan laut di sebuah pasar di daerah berkenaan.
Difahamkan, pelancong itu pada awalnya ingin membeli enam ekor udang lipan berharga RM250 sebelum menawar harga kepada RM200.
Namun selepas perbincangan, peniaga terbabit bersetuju menjual pada harga RM220 tetapi didakwa menukar bungkusan sebelum menyerahkan pesanan tersebut kepada pelanggan.
Hasil semakan semula rakaman video menunjukkan udang yang diterima tidak sama seperti yang dipilih, menyebabkan pelancong terbabit berasa tertipu.
Insiden-insiden seperti itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga maya yang bimbang reputasi Semporna sebagai destinasi pelancongan antarabangsa akan terus terjejas sekiranya penguatkuasaan dan kawalan perniagaan tidak dipertingkatkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
