POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap seorang wanita dikenali 'Inspektor Sheila' kerana didakwa menghalang tugas dan mengeluarkan kata-kata tidak wajar terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku di depan restoran sekitar Jalan Ipoh, Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.30 malam pada Selasa ketika anggota polis itu menahan penunggang motosikal warga Pakistan yang didapati tidak memiliki lesen memandu.
"Ketika anggota polis sedang berurusan dengan pemandu berkenaan, seorang wanita yang dikenali sebagai Sheila, tiba-tiba datang dari arah belakang.
BACA LAGI: Keputusan representasi Inspektor Sheila batal pertuduhan masih belum diputuskan AGC
BACA LAGI: [VIDEO] Inspektor Sheila bebas pertuduhan aib kehormatan Lans Koperal
"Wanita itu kemudiannya didakwa terus menuduh anggota polis yang bertugas mengugut pemandu warga Pakistan berusia 34 tahun itu," katanya pada Rabu.
Tambah beliau, wanita terbabit juga didakwa menuduh anggota polis 'tidak tahu undang-undang' selain mengeluarkan kata-kata yang bertujuan memperlekehkan kredibiliti polis di lokasi kejadian.
Susulan itu, Fadhil berkata, anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu membuat laporan berhubung kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 – atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh atau menghina di tempat awam.
"Siasatan lanjut sedang giat dijalankan untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya.
Sebelum ini, tular video yang dimuat naik wanita berkenaan di laman sosial mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang merupakan penunggang motosikal.
Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheilan Sharon Steven Kumar juga adalah pegawai polis yang ditahan kerja pada 23 Jun 2023 susulan atas kes mahkamah yang dihadapinya berhubung pertuduhan mengugut dan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan dua orang awam. — The Star/JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
