[VIDEO] 'Ingatkan Singapura negara selamat', jam tangan mewah RM1.29 juta milik pempengaruh lesap dicuri


  • Gaya
  • Khamis, 06 Nov 2025

Pempengaruh Thailand terkejut jam tangan mewah Richard Mille bernilai RM1.29 juta lesap dicuri di Singapura. — Instagram/Jinny Chotivichit

SEORANG pempengaruh media sosial terkenal dari Thailand meluahkan rasa terkejut dan kecewa apabila jam tangan mewahnya bernilai kira-kira RM1.29 juta dicuri semasa dia berada di Singapura.

Pempengaruh fesyen dan gaya hidup, Jinny Chotivichit mengakui dia terkejut kerana selama ini menganggap Singapura sebagai sebuah negara yang sangat selamat.

Dalam sebuah hantaran video di Instagram, Jinny mendedahkan jam tangannya yang dicuri ialah model Richard Mille RM 07 01 daripada emas putih bertatahkan berlian penuh dengan tali kulit buaya berwarna putih.

BACA LAGI: Tetap pendirian beli rumah bawah RM300,000, doktor senarai 4 sebab tak galak melabur pada kediaman mahal

BACA LAGI: Peguam Syarie perjelas bapa biologi tak wajib beri nafkah anak luar nikah jika tak berkahwin dengan ibu kandung

"Jam tangan ini lebih daripada sekadar harta benda, ia melambangkan kepentingan peribadi dan hasil titik peluh saya sendiri. Kehilangannya sangat mengecewakan," luahnya.

Jinny memberitahu, dia telah membuat laporan polis mengenai kecurian itu, namun sehingga kini, sudah lebih sebulan dia masih menunggu perkembangan kes tersebut.

Situasi itu mendorongnya untuk berkongsi kejadian tersebut secara terbuka, meskipun peguam menasihatinya untuk tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai lokasi dan cara kecurian berlaku memandangkan siasatan masih berjalan.

"Pada peringkat ini, peguam saya telah menasihati saya untuk menahan diri daripada berkongsi sebarang butiran. Bagaimanapun, jika tiada kemajuan, saya terpaksa mendedahkan kepada umum bagaimana dan di mana jam tangan saya dicuri," tegasnya.

Kehadiran Jinny di Singapura baru-baru ini adalah sempena acara Grand Prix Formula 1 (F1).

Spekulasi di media sosial mengaitkan kecurian tersebut dengan kesesakan pelancong semasa acara perlumbaan berlaku.

Bagaimanapun, Jinny tampil menjelaskan bahawa kecurian tidak berlaku semasa acara F1.

"Jika anda tahu butiran bagaimana jam tangan saya dicuri, anda akan faham bahawa saya tidak dikelilingi oleh pelancong atau orang ramai F1 dan saya tidak hilang jam di acara F1," jelasnya, menepis dakwaan tersebut.

Perkongsian Jinny telah mengundang pelbagai reaksi, yang mana beberapa pengikut mempersoalkan mengapa dia seolah-olah menyalahkan Singapura atas insiden tersebut.

Jinny membalas komen-komen tersebut dengan menyatakan bahawa reputasi Singapura yang kuat terhadap keselamatan telah memberinya rasa keyakinan yang tinggi sebelum ini.

Bagaimanapun, ramai juga pengikutnnya yang bersimpati dengan kehilangan barang berharga itu dan mengingatkan bahawa jenayah boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Pempengaruh itu turut meminta sesiapa yang mempunyai hubungan baik dalam komuniti penjualan semula jam tangan mewah agar menghubunginya secara peribadi jika mereka menemui jam tangan yang sepadan dengan nombor siri miliknya di pasaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram