AKIBAT kecewa dengan teman lelaki yang didakwa berlaku curang, seorang wanita tergamak mengakhiri nyawanya sendiri selepas dipercayai membunuh anaknya dalam kejadian tragik di sebuah rumah di Taman Perak, Kulim, Kedah pada Selasa malam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, wanita berusia 30 tahun berkenaan ditemui mati bersama anak perempuannya yang berusia empat tahun di dalam bilik tidur, manakala anak lelakinya berusia tujuh tahun ditemui masih bernyawa dengan kecederaan di bahagian pipi dan rahang.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa pada pukul 11.05 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur pecah masuk. Berdasarkan keterangan anak lelaki mangsa yang terselamat, dipercayai wanita itu cuba membunuh kedua-dua anaknya sebelum mengambil nyawanya sendiri,” katanya pada Rabu.
BACA LAGI: Ada yang kena penyakit kulit, hampir berpisah, Mufti Terengganu jelaskan punca dugaan 'darah manis'
Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut menemui dua nota dipercayai ditulis oleh wanita berkenaan.
“Dalam nota itu, wanita terbabit dipercayai meluahkan rasa kecewa selepas mengetahui teman lelakinya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain,” katanya.
Mayat mangsa dan anak perempuannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat, manakala anak lelakinya kini dirawat di hospital sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Orang ramai yang berdepan tekanan emosi, menghadapi masalah kesihatan mental, atau berasa hilang arah dinasihatkan agar tidak memendam perasaan seorang diri.
Dapatkan bantuan dan sokongan segera dengan menghubungi talian berikut: Talian Kasih di 15999 atau melalui WhatsApp di 019-261 5999; Mental Health Psychosocial Support Service (MHPSS) di 03-2935 9935 atau 014-322 3392; Jakim Family, Social and Community Care Centre melalui WhatsApp di 0111-959 8214; serta Befrienders Kuala Lumpur di 03-7627 2929 atau layari www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia untuk mendapatkan senarai pusat bantuan di seluruh negara. — The Star/ IMRAN HILMY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
