Saya sudah tiba di balai polis, tak pernah melarikan diri — Namewee


  • Kes
  • Rabu, 05 Nov 2025

Penyanyi tersebut memuat naik sebuah video di media sosial peribadinya dengan memaparkan balai polis di latar belakang.

PENYANYI rap tanah air, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee mendakwa sudah menyerah diri kepada pihak polis pada Rabu dan sedia memberikan kerjasama berhubung kes kematian pempengaruh media sosial dari Taiwan, Hsieh Yun-hsin.

Dalam satu hantaran media sosial, Namewee mengambil video berlatar belakangnya sebuah balai polis.

"Saya baru sahaja tiba di Kuala Lumpur. Saya kini berada di balai polis dan akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan polis untuk memberi penjelasan kepada orang ramai dan keluarga mangsa.

BACA LAGI: Namewee individu terakhir dilihat bersama pempengaruh Taiwan — Polis

BACA LAGI: Kematian pempengaruh Taiwan disyaki ada kaitan dengan penyanyi rap kini diklasifikasikan kes bunuh

"Saya tidak akan melarikan diri kerana sebelum ini, ketika saya dikehendaki, saya dengan rela menyerah diri setiap kali dan tidak pernah melarikan diri," katanya.

Terdahulu, Namewee diburu pihak polis untuk membantu siasatan berhubung kematian Yun-hsin yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh setelah terdahulu melabelnya kematian mengejut.

Namewee dilaporkan menjadi individu terakhir bertemu pempengaruh tersebut pada 22 Oktober sebelum mayatnya ditemui dalam sebuah bilik hotel.

Dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan Namewee sudah direman selama enam hari sehingga Isnin depan.

"Permohonan reman itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi," katanya.

Sazalee sebelum ini mengesahkan Namewee sedang berada dalam penahanan polis setelah menyerah diri bagi membantu siasatan berhubung kematian Yun-hsin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram