MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan penerbangan satu hala bersubsidi menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak akan diteruskan bagi sambutan Hari Krismas.
Tahun ini, harga siling ditetapkan bagi tiket penerbangan semasa tempoh perayaan adalah serendah RM499 sehala berbanding RM599 untuk tiga hari pada tahun lalu.
"Mana-mana kos yang melepasi harga siling ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, termasuk cukai. Sekiranya tiket tidak mencecah harga siling, ia akan dijual berdasarkan kadar pasaran," katanya ketika sesi Dewan Rakyat pada Rabu.
BACA LAGI: Karnival Krismas anjuran CCC di Permas Jaya ubat rindu sambut perayaan di kampung halaman
BACA LAGI: Bukan setakat Krismas, Fandi Ahmad ada sebab keluarkan pengantin baharu ‘Hatrik Hidalgo’ lebih awal

Harga subsidi itu memudahkan mereka yang menyambut Krismas untuk pulang ke Sabah atau Sarawak.
Jelas beliau, selain harga siling diturunkan, tempoh penjualan tiket bersubsidi itu dilanjutkan kepada empat hari sebelum tempoh sambutan Hari Krismas.
Inisiatif tersebut menyaksikan kerajaan memperuntukkan RM19.5 juta bagi menampung 39,744 tiket penerbangan berbanding RM11 juta dibelanjakan bagi mengurangkan harga 26,993 tiket tahun lalu.
"Harga sebenar bagi penerbangan sehala adalah RM990. Subsidi ini sudah dilaksanakan bagi sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak serta Kaamatan dan akan diteruskan bagi Hari Krismas," katanya.
Ketika ditanya mengenai cadangan meluaskan inisiatif FlySiswa kepada penuntut di institut pendidikan swasta, Loke berkata, kerajaan perlu meneliti kos perlu ditanggung bagi program itu.
Jelas beliau, kementeriannya sedang berusaha mengumpul dana bagi inisiatif itu menerusi penjualan nombor pendaftaran kereta khas dan akan disertakan dalam bajet menerusi Kementerian Kewangan.
"Bukannya kita tidak mahu tetapi terdapat kekangan kewangan. Kos diperuntukkan untuk seorang adalah RM400 dan jumlah itu agak besar. Sekiranya terdapat 100,000 individu, peruntukan RM40 jual perlu disediakan," katanya.
Di bawah program itu, pelajar yang layak akan menerima baucar digital yang boleh ditebus untuk penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. — The Star/RAGANANTHINI VETHASALAM dan RAHIMY RAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
