
KASIH sayang ibu bapa bukan diukur dengan kemewahan semata-mata, sebaliknya melalui ilmu yang menjadi bekalan seumur hidup.
Itulah pegangan pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya apabila memilih untuk mendidik anak mereka menguasai tiga bahasa sejak kecil iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin.
Menurut Awal, keputusan itu dibuat kerana mereka mahu memberikan sesuatu yang kekal untuk masa depan anak sulung mereka, Lara Alana, yang kini berusia 11 tahun.
“Kami nak beri sesuatu yang boleh bawa dia jauh, bukan sekadar material. Bahasa adalah kunci ilmu. Lagi banyak bahasa dia tahu, lagi luas peluang yang dia ada,” katanya kepada Majoriti.
Ramai ibu bapa bimbang anak lambat bercakap jika diajar pelbagai bahasa serentak.
Namun, Awal percaya kuncinya adalah pengajaran berperingkat supaya anak tidak keliru.
Sejak lahir, pasangan itu memilih Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di rumah.
Apabila Lara berusia tiga hingga empat tahun, barulah mereka mula menekankan Bahasa Melayu, sebelum memperkenalkan Mandarin ketika Lara berumur tujuh tahun.
“Dia sempat kukuh dalam dua bahasa sebelum masuk bahasa ketiga. Jadi tak ada masalah untuk dia adapt,” jelas Awal.
Hasilnya, Lara kini fasih berbahasa Inggeris dan Melayu, selain mampu berkomunikasi dalam Mandarin.
Menguasai Mandarin bukan tugas mudah kerana Awal dan Scha sendiri sama sekali tidak boleh berbahasa Cina.
Situasi itu membuatkan Lara hanya berlatih bersama guru atau rakan sekolah.
“Kasihan juga dia sebab tak ada teman berlatih di rumah. Jadi dia hanya praktis bila dengan cikgu atau bila jumpa kawan Cina,” katanya.
Namun, usaha Lara membuahkan hasil apabila sudah mampu memahami perkataan yang ditutur individu lain dalam bahasa Cina.
Awal masih mengingati satu momen mencuit hati ketika mereka berada di dalam kapal terbang.
“Tiba-tiba dia tanya, ‘Daddy, kenapa orang tu cakap macam tu?’ Saya tanya mana tahu, dia jawab, ‘Sebab saya dengar dia cakap Mandarin’. Masa tu saya terkejut sebab dia boleh faham perbualan orang,” kongsinya sambil ketawa.
Awal menegaskan pendedahan kepada Mandarin bukan sekadar memenuhi kehendak sekolah, tetapi satu pelaburan jangka panjang.
“Kalau di Eropah, Mandarin mungkin tak relevan. Tapi kita di Asia, ia banyak membantu dalam urusan bisnes, melancong, nak dapatkan barang dari China. Saya gembira anak saya sekolah di Cempaka International School yang menjadikan Mandarin bahasa wajib untuk dipelajari,” katanya.
Awal berkata, Lara mula bersekolah di Cempaka International sejak usia lima tahun.
Selain ilmu, Awal percaya pendedahan kepada pelbagai bahasa mendidik anak menghormati budaya lain.
“Di sekolah, mereka sambut Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas. Dari umur empat tahun, anak saya dah tahu makna perayaan ini. Semua ini ajar mereka tentang hormat perbezaan,” katanya.
Awal menitip pesan agar ibu bapa menghargai keindahan hidup dalam masyarakat majmuk.
“Kita bertuah hidup dalam negara yang berbilang kaum. Hormati perbezaan, raikan persamaan. Didik anak bersikap terbuka – itu pun tanda kasih sayang,” katanya.
Untuk rekod, Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 dan dikurniakan dua puteri, Lara Alana, 11 serta Lila Amina, 4. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram