Kerajaan perhalusi mekanisme subsidi e-hailing, penjimatan BUDI95 disalur semula kepada STR dan SARA


  • Bisnes
  • Isnin, 03 Nov 2025

Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme subsidi untuk pemandu e-hailing, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat. — Gambar hiasan/ The Star

KERAJAAN akan terus menambah baik sistem pelaksanaan subsidi BUDI95 agar lebih berkesan dan inklusif, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Menurutnya, penjimatan hasil pelaksanaan program itu akan disalurkan kepada inisiatif lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, termasuk bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Zhemin (PH–Kampar) di Dewan Rakyat pada Isnin (3 November) berhubung status pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 serta langkah kerajaan memastikan hanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana benar-benar menikmati manfaat skim tersebut.

BACA LAGI: Pelaksanaan subsidi bersasar bagi gula, beras dan minyak masak bakal contohi BUDI95

BACA LAGI: 'Best boleh guna beli barang basah', ramai mula mohon bantuan RM300 BINGKAS Selangor

Motorist fueling petrol using BUDI95 subsidy at petrol station in Klang Valley. Story plan on petrol BUDI 95 roll in. — FAIHAN GHANI/The Star

Sistem BUDI95 dilaporkan stabil tanpa sebarang komplikasi atau barisan panjang di stesen minyak. — Gambar hiasan/ The Star

Menerusi soalan tambahan mengenai penjimatan hasil program itu, Chong turut bertanya mengenai impak kewangan kepada kerajaan.

Menjawab pertanyaan itu, Lim berkata, kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion, berdasarkan anggaran bahawa 22 peratus pengguna tidak layak menerima subsidi.

Ia termasuk penghapusan subsidi untuk warga asing dan pengguna komersial, serta harga minyak mentah antara AS$60 hingga AS$80 setong.

Sementara itu, Lim turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang memperhalusi mekanisme subsidi untuk pemandu e-hailing, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) yang bertanya mengapa pemandu e-hailing hanya menerima tambahan 300 liter, menjadikan kuota bulanan mereka 600 liter, berbanding 1,400 liter sebulan bagi pemandu teksi.

Lim menjelaskan bahawa hal itu kerana pemandu teksi membayar RM2.05 seliter untuk RON95, iaitu kadar kenderaan komersial, dan bukannya harga subsidi RM1.99 seliter.

Dalam pada itu, Lim berkata, pelaksanaan subsidi BUDI95 bagi bulan pertama berjalan lancar dengan lebih 13 juta pengguna menikmati manfaat tersebut pada Oktober lalu.

Beliau memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa sehingga 31 Oktober, sebanyak 80 peratus atau 13.1 juta daripada 16.5 juta rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi bersasar telah membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.

Jumlah itu melibatkan penggunaan sebanyak 1.33 bilion liter petrol, dengan nilai keseluruhan mencecah RM2.66 bilion.

“Kita boleh katakan bahawa pelaksanaan bulan pertama BUDI95 berjalan dengan baik. Sistem juga stabil tanpa sebarang komplikasi atau barisan panjang di stesen minyak,” katanya.

Tambahnya, pengguna juga kini semakin terbiasa dengan pelaksanaan BUDI95. — The Star/ RAGANANTHINI VETHASALAM dan RAHIMY RAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram