[VIDEO] Mudahnya 2 lelaki bermotosikal ragut warga emas, hanya beberapa saat dapat larikan barang kemas


  • Tular
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Tangkap layar kejadian di kawasan perumahan Kampung Pandan, Kuala Lumpur

SATU insiden ragut membabitkan seorang wanita warga emas di kawasan perumahan Kampung Pandan, Kuala Lumpur tular di media sosial selepas rakaman kejadian berdurasi kurang daripada seminit dimuat naik oleh pengguna Facebook. 

Video dari pemilik akaun Facebook, Mohd Hafifie itu memaparkan detik cemas apabila dua lelaki bermotosikal meragut barang kemas milik mangsa sebelum melarikan diri dalam kejadian yang dipercayai berlaku di hadapan sebuah rumah di kawasan tersebut. 

"Berhati-hati semua, ramai peragut sekarang yang tertarik kepada barangan kemas (emas) yang dipakai oleh wanita ketika berada di luar rumah. Kejadian di Kampung Pandan, Kuala Lumpur," tulis Mohd Hafifie.

BACA LAGI: [VIDEO] Hamil 7 bulan tak halang polis wanita sertai pertandingan, raih gangsa angkat berat 145kg

BACA LAGI: [VIDEO] Disiplinkan anak guna taktik polis, Alhamdulillah ada yang berjaya masuk U

Menerusi rakaman itu, seorang wanita dipercayai ahli keluarga mangsa kelihatan cuba menghalang suspek sambil merayu agar mereka tidak mencederakan warga emas berkenaan. 

Namun, kedua-dua lelaki yang memakai topi keledar penuh itu tetap bertindak nekad dengan turun daripada motosikal sebelum merampas barang kemas milik mangsa dan melarikan diri. 

Suasana panik turut kedengaran apabila jiran yang merakam kejadian menjerit meminta nombor plat motosikal dua lelaki berkenaan. 

"Allahuakhbar, dia ragut macam itu saja mak cik itu. Kejadian di Kampung Pandan," kedengaran suara individu tersebut dalam video berkenaan.

 

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut. 

Namun, orang ramai menyeru agar pihak berkuasa meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan perumahan berikutan peningkatan kes ragut melibatkan warga emas dan wanita.

Sementara itu, rata-rata warganet menzahirkan rasa marah dan simpati terhadap nasib mangsa, selain menggesa agar pelaku segera ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal. 

Ramai turut menasihatkan agar golongan wanita mengelak daripada memakai barang kemas yang terlalu ketara ketika berada di luar rumah bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran penjenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram