"PADANG awam itu bukan hak individu — itu kemudahan masyarakat. Gunakan dengan rasa hormat dan tanggungjawab, bukan dengan sikap pilih kasih."
Pandangan tersebut disuarakan pembaca Majoriti menggunakan nama pena Wasmieza selepas baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang penduduk menegur warga asing yang memenuhi sebuah padang di taman perumahan.
Perakam berkenaan berkali-kali menegaskan bahawa mereka tidak dialu-alukan di kawasan tersebut meskipun individu yang dirakam menjelaskan semua warga asing akan beredar sekiranya terdapat pihak lain mahu menggunakan padang berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk pertikai warga asing letak ‘syarat’ main bola sepak di padang awam
BACA LAGI: [VIDEO] Penguat kuasa 'ambush' warga asing di Semporna, ada sanggup lari tinggalkan barang niaga

Padang awam yang sering berada di taman perumahan boleh digunakan mana-mana individu. — Gambar hiasan
Bukan hanya bercakap hal padang, perakam juga meminta pihak Imigresen untuk memeriksa sama ada mereka yang berada di kawasan itu memiliki pasport dan dokumen sah.
Apa yang dikatakannya itu tidaklah salah kerana perjuangan untuk mengelak kebanjiran pendatang asing tanpa izin dalam negara sudah berkali-kali ditekankan.
Namun, apakah salahnya jika warga asing mahu beriadah di kawasan berkenaan tanpa melakukan sebarang kerosakan dan tidak mengganggu keamanan setempat?
"Seriuslah, makin pelik tengok ada yang kecoh tentang warga asing main bola di padang awam. Hello… nama pun awam. Maksudnya tempat itu untuk semua orang tidak kira bangsa, warna kulit, atau asal negara mana pun. Selagi mereka guna dengan tertib, jaga kebersihan, dan tak ganggu sesiapa, kenapa nak marah?
"Yang lagi kelakar, ada yang bertindak macam 'pengawal padang' tidak rasmi — siap rakam video, buat aduan seolah-olah warga asing ini ancaman besar sebab nak beriadah. Mereka pun manusia, sama macam kita," kata pembaca itu lagi.
Tidak cukup dengan itu, ada juga sebilangan masyarakat yang hanya tahu menggunakan fasiliti itu, namun tidak mengambil peduli akan kebersihan.
Mereka ini kadang-kala lebih tergugat melihat kehadiran warga asing di padang awam dan akan rasa tergugat sekiranya kawasan itu 'diambil' meskipun ia boleh diakses orang ramai.
"Dunia ini dah cukup kecil apabila kita mula pandang rendah orang lain hanya sebab status 'warga tempatan' atau 'warga asing'. Kalau betul nak jadi masyarakat yang maju dan matang, belajarlah untuk berkongsi ruang, bukan berebut pengaruh," katanya.
Setakat ini, Jabatan Imigresen Malaysia belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu dengan ramai hanya berharap kemudahan awam tidak dipisahkan berdasarkan latar belakang. — Majoriti
Wasmieza merupakan pembaca Majoriti. Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
