[VIDEO] Lagi pengunjung asing dakwa ditipu peniaga Semporna, desak tindakan segera demi imej pelancongan negara


  • Massa
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Tangkap layar dari video direkodkan pelancong yang didakwa menjadi mangsa penipuan.

IMEJ Semporna, Sabah sebagai destinasi pelancongan kian tercalar kebelakangan ini setelah pelbagai kisah buruk dikongsikan pengunjung, termasuk yang dari luar negara.

Sebelum ini, seorang pelancong dikhabarkan terkejut dengan tahap kebersihan di daerah tersebut apabila persisiran pantai dipenuhi sampah sarap.

Dia yang sempat merekodkan pengalaman itu menyatakan kawasan tersebut sebagai salah satu tempat paling kotor pernah dikunjunginya dengan perkongsian sedemikian pasti mencalarkan reputasi Semporna.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas dituduh guna duit palsu, pelancong China dakwa peniaga Semporna tipu saiz lobster

BACA LAGI: Visit Johor 2026 sasar 12 juta pelancong, Cuping dan Jucy ikon lambang tradisi moden

Situasi itu diburukkan lagi baru-baru ini setelah seorang pelancong dari China menyatakan dirinya menjadi mangsa penipuan ketika membeli makanan laut di salah sebuah pasar.

Pada awalnya, pengunjung terbabit mahu membeli enam ekor udang lipan dengan harga ditawarkan mencecah RM250 dengan tawaran sedemikian tidak mencapai persetujuan.

Pelancong tersebut kemudian meminta diskaun sebanyak RM50 dengan peniaga berkenaan kelihatan mendesak kerana mahu menjual makanan laut terbabit.

Meskipun persetujuan pada awalnya sudah dicapai, pemilik gerai tersebut kemudian masih meminta RM250 seperti mana ditetapkan lebih awal, namun akhirnya terpaksa akur akan permintaan pengunjung yang hanya menghulurkan RM220.

Semporna sememangnya lokasi pelancong ternama dengan keindahan pantai dan lokasi tarikan pelancong.

Kisah tersebut tidak terhenti di situ kerana ketika sedang menikmati udang lipan berkenaan, pelancong China itu menyedari bahawa dia sudah ditipu.

Ini disebabkan haiwan laut diterimanya tidak sama seperti apa yang ditawarkan dengan semakan rakaman mendapati peniaga tersebut sudah menukar beg plastik sebelum menghulurkannya.

Berang akan situasi tersebut, dia kemudian pergi semula ke pasar terbabit, namun ia sudah ditutup dengan orang ramai di kawasan itu menyatakan masing-masing tidak mengenali peniaga berkenaan.

Insiden sedemikian sememangnya mencalarkan reputasi Semporna, lebih-lebih lagi sekiranya pelancong tersebut berkongsi video berkenaan ke China dan menerima ribuan tontonan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram