[VIDEO] 'Mulianya hati dia', tindakan pekerja J&T bersihkan kaca pecah di Arau buat ramai tersentuh


  • Tular
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Tangkap layar menunjukkan seorang pekerja J&T membersihkan serpihan kaca pecah di atas jejambat di pekan Arau, Perlis.

TINDAKAN spontan seorang pekerja penghantaran J&T membantu membersihkan serpihan kaca di atas jalan raya menarik perhatian ramai selepas video berkenaan tular di media sosial. 

Menerusi rakaman video yang dikongsikan oleh akaun TikTok @abangcamera baru-baru ini, kelihatan individu berkenaan yang dikenali sebagai Along J&T berhenti di tepi jalan sebelum mengambil penyapu dan penyodok untuk membersihkan kaca berkecai di atas jejambat pekan Arau, Perlis. 

Tindakan tersebut nyata menyentuh hati warga maya yang memuji sikap prihatin lelaki itu walaupun kerja berkenaan bukan tanggungjawabnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Terlalu percayakan auto pilot, lelaki leka main telefon maut kereta selaju 121 km/j rempuh penghadang jalan di China

BACA LAGI: [VIDEO] Video terakhir ayah kepada anak buka mata dunia betapa kejamnya perang di Sudan

“Tindakan sangat bermakna dan menyentuh jiwa siapa yang tengok. Terima kasih orang baik, respect,” tulis akaun berkenaan.

Video berdurasi 17 saat itu menunjukkan Along J&T dengan tenang menyapu kaca-kaca tersebut bagi mengelakkan kemalangan kepada pengguna jalan raya lain. 

Kisah berkenaan turut dikongsikan semula oleh Perlis Hari Ini di laman Facebook rasmi mereka yang memuji keprihatinan pekerja penghantaran itu.

“Rakyat Perlis tak ramai. Kalau semua orang ada sifat terpuji macam ini, aman dan sejahtera negeri kita.

"Terima kasih abang menunjukkan contoh yang baik walaupun itu bukan kerja abang,” tulis hantaran tersebut.

Tindakan kecil tetapi bermakna itu sekali lagi membuktikan bahawa nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial masih menebal dalam kalangan masyarakat walaupun dalam kesibukan menjalankan tugas harian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram