TULAR di media sosial apabila pempengaruh media sosial,, Aliff Ahmad tampil menyuarakan pandangan peribadinya mengenai fenomena rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pemetik buah di Australia.
Perkongsian itu dibuat susulan hantaran oleh Ida Tuanmin, rakyat Malaysia yang kini bekerja di negara berkenaan selepas berdepan kesempitan hidup di tanah air.
Dalam coretannya, Aliff menegaskan bahawa dia tidak bersetuju dengan tindakan rakyat Malaysia yang ke Australia menggunakan visa pelancong untuk bekerja sambil menyifatkan ia memberi kesan buruk terhadap imej negara di mata pihak berkuasa negara itu.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Mulianya hati dia', tindakan pekerja J&T bersihkan kaca pecah di Arau buat ramai tersentuh
"Aku tak pernah setuju dengan puak petik buah di Australia, dulu masa aku belajar di sana, orang Malaysia dipandang tinggi. Tapi sekarang, kita ibarat ‘Bangla’ apabila tiba di imigresen.
"Pegawai Australia penuh skeptikal, siap tahan dan soal siasat seolah-olah kita semua nak masuk kerja petik buah walaupun visa sudah diluluskan,” katanya.
Aliff turut mendakwa lambakan rakyat Malaysia yang ‘overstay’ dan bekerja secara haram telah menyebabkan proses permohonan visa kini menjadi lebih ketat, malah ada kes pelancong sah ditolak masuk.
"Dulu, orang Malaysia kalau mohon visa melalui ETA, terus dapat keputusan lulus dengan cepat. Hari ini, tidak lagi, pernah terjadi, kawan aku yang memang 'genuine' nak pergi konvo anak dia, suami dia boleh dihantar balik.
"Ya, betul boleh buat duit. Tetapi, ia salah. Melanggar undang-undang dan membahayakan nyawa. Hidup macam pelarian. Takda insurans dan kalau jadi apa-apa, memang tak berbaloi," tambahnya lagi.

Aliff mendakwa lambakan rakyat Malaysia yang overstay dan bekerja haram menyebabkan proses permohonan visa lebih ketat. — Gambar hiasan
Menurut Aliff, mereka yang mahu bekerja di Australia sepatutnya memohon Working Holiday Visa atau visa profesional yang sah, bukannya menggunakan jalan tidak rasmi.
"Aku selalunya aku cadangkan untuk mereka mohon 'Working Holiday Visa' atau visa profesional yang lain. Aku takkan melayan mereka yang datang dengan 'holiday visa' untuk bekerja.
"Nak petik buah di Australia boleh, bukan tak boleh. Mohonlah 'working holiday' Malaysia atau pun, kau mohon 'protection visa' macam personaliti media sosial, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman (Sajat). Mengaku kau LGBTQ dan kena diskriminasi di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, kisah tiga beradik dari Pasir Puteh, Kelantan yang berhijrah ke Melbourne, Australia pada 2019 turut mendapat perhatian ramai selepas mereka berkongsi pengalaman bekerja sebagai petani sambilan bagi menampung kehidupan.
Menurut Tuan Nooraida Tuan Min, hasil kerja bermusim seperti memetik anggur, brokoli dan epal membolehkannya memperoleh pendapatan sekitar AUS$5,000 (RM13,740) sebulan, sekali gus membantu menyelesaikan masalah kewangan keluarga.
“Biarpun hidup di negara orang mencabar, tapi pengorbanan ini berbaloi kerana kesempitan hidup kami di Malaysia dapat diatasi,” katanya.
Perbezaan pandangan antara Aliff Ahmad dan golongan pekerja Malaysia di Australia kini mencetus perbincangan hangat di media sosial, ada yang bersetuju dengan nasihat beliau.
Namun, tidak kurang juga yang mempertahankan perjuangan mereka mencari rezeki di luar negara demi kelangsungan hidup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
