SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan bahawa Malaysia diwajibkan memansuhkan syarat lesen penyiaran yang menetapkan 80 peratus kandungan tempatan menerusi perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.
MCMC dalam kenyataan pada Sabtu menjelaskan bahawa dakwaan tersebut, yang dibuat oleh seorang bekas ketua pengarang, adalah tidak benar dan mengelirukan serta tidak mencerminkan kerangka pelesenan penyiaran yang berkuat kuasa di negara ini.
Menurut MCMC, di bawah lesen Content Applications Service Provider Individual (CASP) atau lesen penyiaran individu yang dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tiada sebarang syarat kuota kandungan tempatan 80 peratus dikenakan terhadap penyiar swasta di Malaysia.
BACA LAGI: [VIDEO] Hamil 7 bulan tak halang polis wanita sertai pertandingan, raih gangsa angkat berat 145kg
BACA LAGI: [VIDEO] Disiplinkan anak guna taktik polis, Alhamdulillah ada yang berjaya masuk U
“Lesen semasa memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan berdasarkan garis panduan dan piawaian kandungan yang ditetapkan oleh MCMC,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa lesen penyiaran di bawah AKM 1998 tidak mengandungi sebarang larangan terhadap penyiaran kandungan antarabangsa pada waktu perdana, dan penjadualan kandungan sepenuhnya bergantung kepada keputusan penyiar berdasarkan permintaan pasaran serta peraturan sedia ada.
MCMC menambah, kerajaan kini sedang membangunkan Dasar Penyiaran Negara (DPN) bagi memastikan ekosistem penyiaran negara kekal mampan, memperkukuh pembangunan kandungan tempatan yang berkualiti serta mewujudkan tadbir urus yang telus dan saksama bagi penyiar awam, swasta dan platform antarabangsa.
MCMC turut menyeru orang ramai agar tidak mudah mempercayai maklumat yang tidak sahih serta merujuk kepada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan dasar dan peraturan penyiaran negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
