Pelajar terjatuh tingkat 3 asrama: KPM tidak lengahkan siasatan, pengetua, penolong kanan HEM, ketua warden dipindahkan


  • Massa
  • Rabu, 29 Okt 2025

Fadhlina menegaskan setiap insiden yang berlaku di sekolah akan menerima perhatian dengan kadar segera. — Facebook/Fadhlina

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat kes keselamatan dan kebajikan pelajar dengan kadar segera.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setiap insiden yang berlaku di sekolah berasrama akan menerima perhatian serta tindakan segera daripada pihak berkuasa.

Beliau merujuk kepada satu kes pelajar yang terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah pada Ogos 2025.

BACA LAGI: Desakan letak jawatan dorong saya buat lebih baik — Fadhlina Sidek

BACA LAGI: Tindakan serius perlu diambil, 697 kes dera kanak-kanak dikesan di Pulau Pinang — Fadhlina Sidek

"Perkara itu telah disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta melaksanakan langkah penambahbaikan.

"Keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan kementerian, dan kami tidak akan berkompromi. Kementerian juga tidak akan melengahkan sebarang siasatan yang melibatkan keselamatan pelajar," tambah Fadhlina pada Selasa.

Fadhlina berkata, laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau menambah bahawa kementerian memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dijalankan.

"Pengetua, penolong kanan hal ehwal murid dan ketua warden telah dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam.

"Mereka akan kekal di sana sehingga siasatan selesai," tambahnya lagi.

Beliau berkata, kementerian telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan dalaman bagi menilai tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Fadhlina, satu bilik gerakan pasukan khas (task force war room) turut bersidang setiap hari bagi memantau kesihatan pelajar, pengurusan keselamatan, disiplin serta komunikasi risiko.

Pelajar itu disyaki terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selabgor.

Katanya, pihak sekolah juga telah mengambil tindakan pembetulan segera berkaitan keselamatan infrastruktur dan kemudahan sekolah.

"Menurut laporan terkini, pelajar berkenaan kini pulih dengan baik. Beliau telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini berada di rumah," katanya.

Fadhlina turut menjelaskan bahawa kementerian mempunyai mekanisme jelas bagi memastikan persekitaran sekolah yang selamat.

Beliau merujuk kepada Surat Pekeliling Profesional Bil. 4 Tahun 2002 mengenai Program Sekolah Selamat serta menambah bahawa Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan telah ditubuhkan.

Keanggotaan jawatankuasa itu merangkumi pakar akademik, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan seperti UNICEF, NUTP dan universiti tempatan.

Jawatankuasa berkenaan telah bersidang sebanyak dua kali tahun ini bagi mencadangkan penambahbaikan terhadap Program Sekolah Selamat.

Mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu audit keselamatan telah dijalankan melibatkan 735 sekolah dari 19 hingga 26 September 2025.

"Audit ini meliputi sekolah berasrama penuh, asrama harian dan sekolah harian biasa.

"Ia memberi tumpuan kepada pematuhan SOP seperti jadual tugas warden, pemantauan aduan, jumlah warden, pencahayaan waktu malam dan pemasangan CCTV," tambahnya.

Menurut beliau, lawatan mengejut turut dijalankan oleh kepimpinan tertinggi kementerian, pengarah negeri dan pegawai daerah, termasuk lawatan malam bagi menilai tahap pematuhan SOP di asrama.

Selaras dengan Belanjawan 2026, kementerian memperuntukkan RM3 juta untuk pemasangan sistem CCTV di 200 buah asrama mulai 13 Oktober.

"Penempatan kamera CCTV dibuat berdasarkan nasihat daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan," katanya. — The Star/TEH ATHIRA YUSOF dan KHOO GEK SAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram