KELUARGA seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia dalam sebuah van sekolah di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor pada 30 April lalu telah memfailkan saman kecuaian terhadap lima pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM2.089 juta.
Ibu bapa kanak-kanak malang terbabit, Teo Jia Meng dan Yu Yue Yang telah menamakan Tadika Perintis Indah, YK Educational Group Sdn Bhd, Double Tree Transport Sdn Bhd, pemandu van Yau Chee Weng, serta KPM sebagai defendan dalam saman yang difailkan.
Menurut peguam mereka, Ng Kian Nam saman berkenaan difailkan susulan dakwaan kecuaian semua pihak terbabit yang menyebabkan kematian anak tunggal pasangan itu, Teo Yu Ze selepas budak lelaki itu ditemui meninggal dunia dalam van sekolah yang diparkir di hadapan tadika di Taman Bukit Indah pada 30 April lalu.
BACA LAGI: KPM tubuh jawatankuasa khas siasat kes murid maut ditikam di sekolah di Bandar Utama
BACA LAGI: Teknologi jadi perisai, KPM boleh cuba 3 peranti moden bantu cegah pelajar dibuli
"Tiga defendan pertama gagal melaksanakan protokol keselamatan asas dan sistematik bagi memastikan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak yang diamanahkan kepada mereka oleh plaintif.
"Defendan pertama dan kedua juga gagal menyemak dan mengesahkan sama ada mangsa yang dihantar oleh pemandu van telah tiba dengan selamat di tadika,” katanya pada sidang media di luar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Khamis.
Beliau menambah bahawa para defendan turut gagal memaklumkan dengan segera kepada ibu bapa mangsa mengenai keadaan anak mereka selepas mendapati mangsa ditinggalkan terkunci di dalam van sehingga tidak sedarkan diri.
"Defendan keempat (pemandu van) gagal memeriksa van selepas menurunkan kanak-kanak lain, walaupun kenderaan itu bersaiz kecil.
"Dia juga gagal melaporkan atau berhubung dengan pihak tadika untuk mengesahkan jumlah kanak-kanak yang dihantar pada hari kejadian," katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan selaku defendan kelima didakwa gagal mengambil tindakan segera dan tegas terhadap defendan pertama dan kedua selepas kejadian tersebut.
"Ini termasuk kegagalan menjalankan siasatan, menggantung lesen operasi serta mengambil tindakan jenayah bagi melindungi kepentingan dan keselamatan murid lain.
"Tuntutan pasangan ini dibuat atas kehilangan anak mereka yang mengalami trauma dan penderitaan teruk sebelum meninggal dunia.
"Plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM59,301 dan ganti rugi am sebanyak RM2.03 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.089 juta," katanya.
Menurut Kian Nam lagi, tindakan mahkamah sivil itu turut bertujuan memberi mesej tegas kepada semua pihak berkepentingan termasuk pengusaha sekolah, bahawa keselamatan pelajar mesti menjadi keutamaan khususnya di peringkat tadika.
"Anak guam kami sangat kecewa kerana walaupun banyak insiden tragik dan jenayah berlaku di sekolah baru-baru ini, termasuk membabitkan Zara Qairina Mahathir dan Yap Shing Xuen, pihak kementerian masih belum menunjukkan kesungguhan dalam menangani isu ini.
"Kegagalan menyiasat dan mendakwa pihak sekolah yang cuai serta tidak mematuhi peraturan menjadikan keselamatan dan nyawa anak-anak kita terus terancam," katanya.
Terdahulu, dilaporkan bahawa kanak-kanak tersebut ditemui tidak sedarkan diri di dalam van sekolah di luar sebuah tadika di Taman Bukit Indah pada 30 April.
Pada 7 Mei, pemandu van berusia 56 tahun, Yau Chee Weng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan penjagaan kanak-kanak dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
