Selgate buka hospital pakar pertama di Rawang, integrasi aplikasi Selangkah dalam perkhidmatan


  • Bisnes
  • Khamis, 30 Okt 2025

Reka bentuk SSH Rawang dirancang dengan mengambil kira keselesaan dan kebolehcapaian penduduk Rawang. — Selgate

PUSAT penjagaan kesihatan swasta pertama Selgate Corporation, Selgate Specialist Hospital Rawang (SSH Rawang) membuka pintunya secara rasmi pada 21 Oktober 2025.

Terletak secara strategik di Persiaran Anggun Ria, Sungai Bakau, Rawang, hospital itu merangkumi keluasan kira-kira 261,000 kaki persegi dan mampu menampung 224 katil.

SSH menempatkan pelbagai perkhidmatan kepakaran dan diagnostik termasuk ortopedik, obstetrik dan ginekologi, pediatrik dan kardiologi pediatrik serta oftalmologi.

BACA LAGI: Berdebar ingatkan scam, usahawan barangan kulit tak sangka terima tempahan dari Istana Negara

BACA LAGI: Ikhlas.com sasar perluas pelancongan patuh syariah, rancak kempen ‘Umrah 1,000 Asnaf’

Hospital ini terletak secara strategik di Persiaran Anggun Ria, Sungai Bakau, Rawang.

Selain itu ia turut meliputi ENT, pembedahan bariatrik, pembedahan mikro dan tangan, pembedahan am, perubatan am, perubatan dalaman, radiologi serta anestesiologi.

Hospital swasta itu turut menyediakan lebih daripada 500 petak meletak kenderaan di aras bawah dan di bangunan parkir bertingkat bagi menjamin kemudahan akses serta keselesaan pesakit dan pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif, Wilayah Tengah, Selgate Group of Hospitals, Miranda Harumal berkata, pembukaan SSH Rawang bukan sekadar satu kejayaan malah ia mencerminkan komitmen pihaknya untuk mentakrif semula pengalaman penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Daripada inovasi digital menerusi Selcare dan Selangkah sehinggalah penubuhan hospital pakar sendiri, kami telah membina ekosistem penjagaan kesihatan yang benar-benar bersepadu dan memenuhi keperluan rakyat Malaysia sama ada secara digital mahupun fizikal. 

Hospital swasta Selgate menempatkan pelbagai perkhidmatan kepakaran dan diagnostik.

"Matlamat kami ialah untuk memberikan penjagaan yang menggabungkan kecemerlangan klinikal dengan sentuhan insani bagi memastikan setiap pesakit dihargai, didengari dan disokong sepanjang masa mereka ada bersama kami,” katanya.

Selepas pembukaan SSH Rawang, Selgate akan meneruskan dengan pelancaran Selgate Specialist Hospital Sepang dan Selgate Specialist Hospital Setia Alam pada tahun 2026.

Selgate Corporation mengorak langkah pertamanya melalui jenama Selcare, meliputi rangkaian klinik GP, klinik pergigian, makmal diagnostik, farmasi serta perkhidmatan kejururawatan di rumah. 

Ruang menunggu yang mesra keluarga menjadikan pengalaman rawatan lebih telus dan efisien.

Di samping itu, Selcare juga menguruskan pelbagai program kebajikan dan kesihatan negeri bagi Kerajaan Negeri Selangor seperti SELVAX (program vaksinasi Covid-19) dan Selangor Saring (saringan kesihatan percuma) yang memberi manfaat kepada lebih daripada 500,000 penduduk sejak pelaksanaannya.

Inovasi digital Selgate menerusi aplikasi Selangkah turut merevolusikan cara rakyat Malaysia mengakses penjagaan kesihatan sewaktu krisis pandemik.

Aplikasi itu juga membolehkan penjejakan kesihatan secara masa nyata, penjadualan vaksinasi, serta interaksi mudah antara pengguna dengan klinik dan penyedia perkhidmatan.

Untuk maklumat terkini dan berita mengenai acara akan datang, sila layari www.selgatecorporation.com.  — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram