SIDANG Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan 2025 yang melabuhkan tirai pada 28 Oktober ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai perhimpunan serantau terbesar, malah turut menobatkan barisan artis tempatan sebagai duta seni Malaysia di pentas diplomasi antarabangsa.
Artis-artis ternama negara telah diberi penghormatan istimewa untuk membuat persembahan di hadapan Ketua-Ketua Negara ASEAN, Rakan Dialog seperti Amerika Syarikat (AS) dan China, serta delegasi peringkat tinggi yang hadir, menzahirkan kekayaan budaya Malaysia dikemudi melalui muzik.
Beberapa nama besar dalam industri muzik tempatan telah membuat persembahan eksklusif di majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh pemimpin dunia.
BACA LAGI: Dari The Hague ke KLCC, peguam Amal Clooney bawa suara mangsa perang ke sidang kemuncak Asean
BACA LAGI: Retrospektif fesyen Ratu Sirikit, martabat sutera Thai di mata dunia
Antara yang paling menonjol ialah persembahan gandingan Dato' Sri Siti Nurhaliza dan M. Nasir yang diiringi oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dalam Konsert Menteri Tenaga ASEAN yang berlangsung di KLCC sekitar 15 hingga 17 Oktober lalu.
Penghormatan lain turut diberikan kepada Ratu Pop R&B, Misha Omar, yang membuat persembahan memukau pada Majlis Makan Malam Selamat Datang ASEAN bagi delegasi peringkat tinggi sekitar 23 Oktober lalu.
Selain itu, Konsert Persahabatan ASEAN yang diadakan di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri pada 18 Oktober 2025 telah menampilkan barisan penyanyi popular masa kini seperti Aina Abdul, Hael Husaini dan Aisha Retno.
Aina Abdul juga turut diamanahkan untuk menyanyikan Lagu Tema Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Perwakilan seni persembahan lain turut terlibat, yang mana kumpulan tarian Zeppo Youngsterz membuat persembahan bertenaga di Sidang Kemuncak Pertumbuhan Inklusif ASEAN yang diadakan sekitar 25 hingga 26 Oktober.
Sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak dari 26 hingga 28 Oktober di Kuala Lumpur Convenction Centre (KLCC), pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim turut diberi kepercayaan besar sebagai Pengacara Rasmi Majlis Protokol.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencuri tumpuan apabila menggunakan lagu tempatan untuk perkongsian sosial media sambutan pemimpin dan acara utama, sekali gus mendedahkan citarasa muziknya yang mendalam terhadap irama Malaysia.
Dalam kemas kini media sosialnya, Anwar menggunakana lagu-lagu utama yang dipilih dalam acara protokol, termasuk lagu "Dikir Puteri" nyanyian Noraniza Idris yang dipilih khas untuk sambutan ketibaan Presiden AS, Donald Trump.
Lagu irama Malaysia yang rancak iaitu "Kurik Kundi" dendangan Dato’ Sri Siti Nurhaliza pula mengiringi ketibaan dan sambutan rasmi pemimpin-pemimpin ASEAN.
Seterusnya, lagu berunsur patriotik yang mendalam, "Anak Anak Kita" oleh M. Nasir, digunakan semasa sesi Pra-Mesyuarat bersama komiti ASEAN.
Bagi Majlis Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak, lagu berentak jazz dan pop etnik "Tari Tualang Tiga" nyanyian Dayang Nurfaizah dipilih, manakala lagu keramat "Gemilang" yang dipopularkan oleh Ella digunakan sebagai latar belakang ikonik untuk ucapan dasar Perdana Menteri.
Dalam usaha menyemarakkan lagi aura Sidang Kemuncak, acara-acara terbuka seperti RIUH x ASEAN turut diadakan, menampilkan bakat-bakat muda dan indie seperti Joe Flizzow, Abang Sapau, Isaac Voo dan At Adau, membuktikan industri kreatif Malaysia sentiasa dinamik serta relevan dalam sebarang platform. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
