Jadi pelabur utama projek gas asli di Amerika Utara, PM Kanada bangga Petronas buka beribu peluang pekerjaan


  • Bisnes
  • Selasa, 28 Okt 2025

Projek LNG Canada merupakan salah satu projek eksport gas asli cecair terbesar di dunia. — Reuters

PERDANA Menteri Kanada, Mark Carney memuji sumbangan besar Petronas sebagai antara pelabur utama dalam projek eksport gas asli cecair (LNG) Canada yang disifatkan sebagai antara pemacu utama ekonomi negara itu.

Carney yang baru-baru ini terlibat sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN tidak menafikan projek itu berjaya mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Kanada serta memperkukuh kedudukan Kanada sebagai hab tenaga global.

Dalam satu hantaran di akaun rasmi beliau, Carney menegaskan bahawa pelaburan Petronas dalam projek berimpak tinggi itu bukan sahaja membawa manfaat dari segi pembangunan ekonomi, malah memberi nilai jangka panjang dalam memperluas pasaran eksport tenaga Kanada.

BACA LAGI: Diplomasi durian dua negara, raja buah pengukuh jambatan dagang Malaysia–China

BACA LAGI: The Beast guna Petronas, ramai bangga kenderaan perisai bawa Trump sokong jenama tempatan

"Petronas ialah pelabur utama dalam LNG Canada, sebuah projek yang mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Kanada serta mempelbagaikan pasaran eksport," tulisnya dalam kenyataan ringkas di laman X pada Isnin.

Carney turut memaklumkan bahawa beliau telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bagi membincangkan hala tuju baharu kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

"Saya bertemu dengan CEO mereka, Tengku Muhammad Taufik, untuk membincangkan bagaimana kita dapat memperluas kerjasama yang berjaya ini sambil mempercepat projek besar yang akan membina Kanada yang lebih kukuh," katanya lagi.

Projek LNG Canada merupakan salah satu projek eksport gas asli cecair terbesar di dunia yang melibatkan kerjasama beberapa syarikat tenaga antarabangsa terkemuka.

Untuk makluman, Petronas memegang 25 peratus kepentingan dalam projek berkenaan, manakala Shell selaku pengendali utama memiliki 40 peratus.

Turut menjadi rakan kongsi ialah PetroChina Co. Ltd. (15 peratus), Mitsubishi Corporation Jepun (15 peratus) dan Korea Gas Corporation (5 peratus).

Fasa pertama kemudahan tersebut, yang menerima keputusan pelaburan akhir (FID) pada 2018, telah memulakan penghantaran gas pertama kira-kira dua bulan lalu.

Konsortium LNG Canada turut memiliki lesen eksport selama 40 tahun, yang membenarkan pengeksportan sehingga 14 juta tan LNG setahun pada peringkat awal operasi.

Difahamkan, fasa kedua projek itu kini dalam peringkat rujukan kepada Pejabat Projek Utama Kanada, dengan kerajaan negara itu sedang meneroka peluang baharu bagi mengembangkan kerjasama strategik serta memperkukuh peranan Kanada sebagai pembekal tenaga yang boleh dipercayai di peringkat global. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram