'Lebih 100 rekaan berjaya siap tempoh 2 minggu', sentuhan Behati warnai persembahan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47


  • Gaya
  • Rabu, 29 Okt 2025

Bagi Kel Wel (kiri), projek tersebut merupakan antara tugasan paling mencabar. — Instagram/@kel_wen

JENAMA fesyen tempatan, Behati sekali lagi membuktikan keupayaannya di pentas antarabangsa apabila diberi penghormatan untuk mereka kostum rasmi bagi persembahan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.

Dalam acara berprestij menghimpunkan pemimpin tertinggi Asia Tenggara itu, persembahan pembukaan menampilkan gabungan koir lagu rasmi ASEAN dan pertunjukan budaya kontemporari di bawah arahan pengarah artistik dan pengasas kumpulan Hands Percussion MalaysiaBernard Goh.

Antara yang mencuri tumpuan persembahan penghormatan kepada warisan Borneo oleh pemain sape profesional dan pencipta lagu, Alena Murang yang menggabungkan elemen Kadazan Sabah dan Iban Sarawak, persembahan Hands Percussion Malaysia dalam busana Baju Melayu Teluk ASEAN bersama tanjak plastik kitar semula serta penari di bawah koreografi Zamzuriah yang tampil dalam songket emas dan kurung kelopak bunga raya.

BACA LAGI: Seni terarium bukan sekadar hobi, rutin menghias landskap mini jadi terapi

BACA LAGI: Keperluan ‘coach cerai’ buat pasangan dalam proses berpisah, antara sokongan emosi dan mencari titik damai

Setiap rekaan Behati tesebut menampilkan kehalusan cita rasa dan semangat menyatukan kepelbagaian budaya Malaysia di bawah satu identiti nasional.

Kongsi pengasasnya, Kel Wen, proses untuk menyiapkan lebih 100 rekaan itu mengambil masa selama dua minggu, sekali gus menjadikan projek tersebut antara paling mencabar.

"Lebih 100 rekaan berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu selepas melalui pelbagai peringkat kelulusan. Banyak perkara yang saya pelajari daripada pengalaman ini.

"Mungkin inilah projek paling mencabar pernah saya lalui. Pasukan saya selalu mengingatkan, 'Demi Malaysia' dan saya amat berterima kasih kepada semua yang membantu menjayakannya," tulis Kel Wen dalam hantaran tersebut.

Ditubuhkan pada 2018, Behati adalah jenama fesyen tempatan yang terkenal dengan rekaan berinspirasikan identiti Nusantara.

Label berkenaan sering menampilkan koleksi yang memartabatkan pakaian tradisional seperti baju Melayu, baju kurung dan songket lebih moden dan berani.

Gaya rekaan yang avant-garde menjadikan Behati antara jenama terkemuka dalam usaha mengangkat warisan budaya rantau ini ke peringkat global. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram