DEMI membendung peningkatan kes eksploitasi seksual dan buli siber dalam kalangan remaja, kerajaan mencadangkan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial di Malaysia.
Cadangan itu bertujuan memberikan perlindungan maksimum kepada kanak-kanak dan remaja daripada ancaman dalam talian seperti grooming, pemerasan, buli siber serta pendedahan awal kepada kandungan seksual tidak sesuai.
Ia juga bertujuan menghalang kandungan tidak wajar kepada pengguna muda serta mengurangkan risiko tatkala mereka tidak cukup matang untuk menilai keselamatan digital.
BACA LAGI: Integrasi MyDigital ID dalam aplikasi myPTPTN bantu urusan lebih selamat, efisien
BACA LAGI: NADI ada seminggu rancang program keselamatan siber untuk ibu bapa — Fahmi

Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah memerlukan pengawasan lebih kukuh. — Gambar hiasan/ The Star
Mungkin timbul persoalan kenapa had umur 16 tahun dianggap sebagai titik wajar?
Menurut MCMC, pada usia 16 tahun, kebanyakan remaja dianggap lebih matang dari segi psikologi untuk memahami batas keselamatan dalam talian.
Tempoh itu juga dapat memberi ruang bagi sistem pendidikan dan ibu bapa menanam asas literasi media dan keselamatan siber sebelum pendedahan penuh ke media sosial.
Pada masa sama, ia membolehkan kerajaan melalui badan kawal selia menetapkan syarat dan pengawasan lebih kukuh tanpa membebankan generasi yang sangat muda.
Di samping itu, ia mengurangkan kemungkinan remaja menggunakan dokumen palsu atau berlakunya penipuan umur.
Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, cadangan menaikkan had umur minimum media sosial kepada umur 16 tahun dilihat sebagai kesinambungan kepada rangka perundangan sedia ada.
“Kita sudah beberapa akta termasuk Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan kini kita memperkukuh perlindungan itu dengan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
"Bagi saya, ini pendekatan yang menyeluruh dan kita berharap ia dapat mengurangkan isu eksploitasi kanak-kanak dalam talian,” katanya kepada Majoriti.
Menurut Noor Aziah, pendedahan kepada kandungan negatif dalam talian boleh memberi kesan langsung terhadap tingkah laku anak-anak.
“Ada kalanya kanak-kanak meniru apa yang mereka tonton termasuk video atau kartun yang disangka tidak berbahaya, sedangkan ada kandungan terselindung yang boleh mempengaruhi minda mereka.
"Sebab itu kawalan serius perlu dilaksanakan,” katanya lagi.

Noor Aziah menyifatkan cadangan menaikkan had umur minimum media sosial kepada umur 16 tahun merupakan satu pendekatan menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau berkata, cadangan kerajaan menyekat kanak-kanak bawah 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial adalah langkah paling praktikal buat masa ini bagi mengawal akses mereka.
Namun beliau mengakui, cabaran tetap wujud kerana kanak-kanak masa kini semakin kreatif dan bijak mencari jalan untuk ‘terlepas masuk’ ke platform media sosial.
"Justeru, kerjasama semua pihak amat penting termasuk MCMC dan penyedia platform digital.
"Jika ada aduan melibatkan eksploitasi kanak-kanak atau kes buli siber, tindakan segera perlu diambil tanpa menunggu lama,” ujarnya.
Katanya lagi, pelaksanaan itu kelak akan menggalakkan platform media sosial lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengguna adalah sah umur dan memastikan kandungan mereka ditapis berdasarkan norma tempatan.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Sastera Liberal di INTI International University, Prof Abdul Majid Mohd Isa berkata, cadangan menyekat akses media sosial mengikut peringkat umur tidak sepatutnya dijadikan penyelesaian utama dalam menangani risiko keselamatan digital dalam kalangan kanak-kanak.
Beliau berpendapat, kerajaan pada masa sama perlu menumpukan kepada penapisan kandungan digital seperti yang dilakukan terhadap bahan bercetak atau filem.
Katanya, pendekatan sekatan menyeluruh atau ‘total ban’ terhadap pengguna bawah umur tidak akan menyelesaikan masalah selagi kandungan berbahaya terus berlegar di alam maya.
“Sebenarnya, kita tidak boleh sekat semata-mata tanpa menyediakan alternatif.
"Kalau buku atau majalah yang tidak sesuai boleh diharamkan jualannya, prinsip sama boleh diterapkan dalam konteks digital iaitu melalui penapisan kandungan,” jelasnya.

Abd Majid berkata, remaja dibuli atau mengalami gangguan seksual berisiko mengalami trauma, tekanan emosi dan kemurungan.
Menurut beliau, masalah utama bukan pada platform media sosial itu sendiri, tetapi pada kandungan (content) yang tersebar di dalamnya.
“Kita sudah ada mekanisme seperti Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk menilai kandungan filem. Jadi mungkin kita boleh guna mekanisme sama untuk menapis kandungan digital,” katanya sambil memberitahu, cabaran besar masa kini ialah apabila generasi muda melihat akses internet sebagai keperluan asas dalam setiap aktiviti.
“Sekarang ini bila diajak balik kampung, anak akan tanya dulu, ‘Rumah nenek ada Wi-Fi tak? Itu antara contoh kebergantungan tinggi anak terhadap dunia digital," jelasnya.
Mengulas mengenai kesan psikologi pendedahan media sosial tanpa kawalan terhadap kanak-kanak hingga menjadi mangsa buli siber, Abd Majid berkata, mereka boleh berisiko mengalami trauma, tekanan emosi dan kemurungan.
“Kita boleh lihat kesan jangka panjang melalui kajian tentang penderaan kanak-kanak.
"Mangsa buli atau penderaan ketika kecil berisiko tinggi untuk menjadi pembuli apabila dewasa sekali gus membentuk satu kitaran tidak sihat (vicious cycle) yang boleh berulang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa peranan kaunselor sekolah dan pusat kesihatan perlu diperkasa bagi melaksanakan modul pencegahan dan intervensi awal.
“Tanda-tanda awal seperti perubahan tingkah laku, hilang selera makan, enggan berkawan atau menjadi terlalu pendiam perlu dikenal pasti lebih awal agar intervensi dapat dibuat,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
