IKHLAS Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menyasarkan kutipan zakat RM100 juta pada 2026, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju utama platform zakat digital di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, jumlah itu adalah sekali ganda daripada kutipan yang diraih tahun ini berjumlah lebih RM50 juta menerusi usahasama dengan badan-badan zakat di seluruh negara.
Beliau berkata, sasaran berkenaan diyakini mampu dicapai menerusi pengukuhan kerjasama strategik dengan lebih banyak institusi zakat negeri serta pelaksanaan sistem digital yang lebih telus dan efisien.
BACA LAGI: Diplomasi durian dua negara, raja buah pengukuh jambatan dagang Malaysia–China

Ikhlas (tengah) bersama barisan pengurusan tertinggi Capital A Berhad, wakil institusi zakat dan badan korporat berkaitan pada edisi kedua Zakat Fest 2025 di RedQ, Sepang, pada Selasa.
"Setakat ini, ikhlas.com menjalinkan kerjasama strategik dengan 10 institusi zakat termasuk dengan empat badan zakat yang diperkenalkan hari ini iaitu Pusat Kutipan Zakat Pahang, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
"Menerusi kerjasama ini, ikhlas.com diperakui sebagai penolong amil rasmi yang sah sekali gus membantu memperkasakan impak dan hasil kutipan zakat menerusi penyeragaman sistem digital yang lebih cekap, telus dan pantas.
“Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan integrasi digital malah mengoptimumkan peruntukan dana dan mempertingkatkan ketelusan dalam pengagihan zakat kepada golongan yang berhak menerimanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada edisi kedua Zakat Fest 2025 yang berlangsung di Air Asia RedQ Sepang, pada Selasa.
Zakat Fest 2025 merupakan acara tahunan utama anjuran ikhlas.com yang meraikan peranan strategik zakat dalam membina komuniti mampan, memperkukuh keadilan sosial dan menyokong ekonomi inklusif.
Mengulas lanjut, Ikhlas berkata, kutipan zakat harta ikhlas.com akan disalurkan untuk membantu golongan memerlukan menerusi AirAsia Wakalah Fund yang kini memiliki kira-kira 1,300 pembayar zakat dalam kalangan kakitangan kumpulan AirAsia ketika ini.
Dana tersebut terbahagi kepada empat komponen iaitu bantuan tunai bagi kumpulan berpendapatan rendah, bantuan pendidikan (Ikhlas Untukmu), bantuan kecemasan bagi mangsa bencana dan keperluan mendesak dan kelas asas fardu ain percuma.
"Bagi tahun depan, kami menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 4,000 pembayar zakat pada tahun depan," katanya.
Pada majlis itu, ikhlas.com turut meraikan kecemerlangan dalam pemberian yang beretika dan berimpak melalui penganugerahan kategori Majikan Terbaik dan Pembayar Zakat Terbaik.
Pengiktirafan itu diberikan kepada organisasi yang secara konsisten menunjukkan kepimpinan dalam mengintegrasikan zakat ke dalam rangka kerja perniagaan mereka, sekali gus memberi kesan positif kepada rantaian bekalan dan komuniti setempat.
ikhlas.com merupakan platform gaya hidup dan pelancongan Islam digital di bawah Capital A Berhad, yang berfungsi sebagai saluran bagi umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan mudah.
Selain perkhidmatan umrah dan pelancongan mesra muslim melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia, ikhlas.com turut menawarkan perkhidmatan akikah, fidyah, korban, sedekah dan lain-lain.
Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
