Peniaga Pasar Seni mengeluh jualan hambar, dakwa terjejas akibat lambakan produk dari China


  • Bisnes
  • Isnin, 27 Okt 2025

Barangan kraf yang boleh didapati di kios Pandameow eStore yang terletak di Kasturi Walk, Pasar Seni.

SEORANG peniaga kraf tempatan di Pasar Seni, Kuala Lumpur meluahkan rasa kecewa apabila jualan produk kraf di kios miliknya semakin merosot, dipercayai akibat lambakan barangan import dari China yang dijual pada harga jauh lebih murah.

Pemilik Pandameow eStore, yang sudah tiga tahun berniaga di kawasan tumpuan pelancong itu berkata, jualan semakin menurun walaupun lokasi perniagaan sentiasa dipenuhi pengunjung.

“Apa silap kami, jalan sentiasa sibuk dengan orang, tapi jualan untuk 12 jam cuma hasil daripada tiga hingga lima pelanggan sahaja. Mungkin kerana lambakan barangan dari China makin banyak, peniaga kecil seperti kami makin tenggelam,” katanya di laman Threads.

BACA LAGI: Tukar lokasi pun orang masih cari paru 'crispy', nasi Padang kini taruhan pasangan suami isteri dari Kedah di Zafza Cafe Seri Kembangan

BACA LAGI: Semak 3 persoalan kewangan sebelum pencen, rujuk panduan simpanan persaraan KWSP

 

 

Menurutnya, kos untuk menyertai acara jualan juga semakin membebankan dengan kadar sewa tapak sekitar RM500 sehari, manakala bayaran parkir di kawasan sekitar mencecah RM35 hingga RM40 sehari.

“Untuk event tiga hari, sewa dah RM1,500 belum termasuk modal, pengangkutan dan upah pekerja. Semua tu tinggi sebab kawasan ni memang spot pelancong,” jelasnya.

Katanya, walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk menghasilkan rekaan bertemakan identiti tempatan seperti durian, nasi lemak dan bunga raya, sambutan tetap hambar kerana kebanyakan pelancong memilih produk yang lebih murah.

"Kami memang buka tempahan dalam talian, tapi pelanggan ‘walk-in’ semakin berkurang sejak kami mula berniaga dulu,” katanya lagi.

Peniaga itu tidak menolak kemungkinan tahun hadapan menjadi tahun terakhir mereka bertahan di Pasar Seni, dan menyeru orang ramai datang memberi sokongan terakhir di kios miliknya yang bertempat di Kasturi Walk, Pasar Seni.

Seorang pengguna lain di media sosial turut berkongsi pandangan bahawa pengunjung kini lebih cenderung membeli secara dalam talian kerana harga yang lebih murah, selain menyedari terlalu banyak peniaga menjual barangan serupa di kawasan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram