Heboh sampai ke China dan UAE, anak Penang kaut RM1.87 juta jual koleksi kad Pokemon


  • Hobi
  • Selasa, 28 Okt 2025

Damiral (kiri) menunjukkan pelbagai kad bernilai yang dimiliki dalam koleksi peribadinya.

SEBELUM ini, orang ramai terkejut setelah seorang pengumpul kad Pokemon meletakkan tanda harga mencecah RM1.8 juta buat mana-mana individu yang berminat dengan koleksinya.

Penjualan tersebut diiklankan pengguna media sosial, Damiral Imran pada 18 Oktober lalu dengan menunjukkan semua kad dalam koleksinya yang ditempatkan dalam sebuah bilik kecil dipercayai di rumahnya.

Harga ditetapkan itu pada awalnya menimbulkan kesangsian kerana ramai beranggapan tiada sesiapa mahu membuat pelaburan mencecah jutaan ringgit untuk koleksi kad terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Hobi kumpul Pokemon TCG jadi kegilaan, anak jati Kelantan sanggup labur jutaan ringgit  

BACA LAGI: Pelakon suara Pokemon derita kanser payudara meninggal dunia pada usia 46 tahun

Damiral berkongsi koleksi kad miliknya itu sudah terjual selepas menerima tawaran mencecah RM1.87 juta. Facebook/Damiral Imran

Namun, selepas hanya kira-kira sembilan hari dikongsikan, penjual tersebut berkongsi berita baik setelah menerima tawaran RM1.87 juta untuk semua kad dalam koleksinya.

"Dari sebuah bilik kecil di Shah Alam kepada catatan sejarah dalam dunia Pokemon. Ini lebih dari sebuah penjualan, ini adalah kisah kesungguhan dan legsi.

"Daripada sebuah minat kepada legasi, ini menandakan momen paling besar dalam perjalanan saya. Setiap kad, setiap kotak dan malam-malam yang tidak saya dapat lelapkan mata membuahkan hasil," tulisnya.

Melihat kepada media sosial peribadi Damiral, dia yang berasal dari Pulau Pinang sering berkongsi pelbagai hobi diminatinya, termasuk berkaitan pengumpulan kad sebegitu.

Penjualan itu dibuat kepada peminat dunia Pokemon, Tay Wee Shen dengan penyerahan koleksi berkenaan bakal dibuat ketika acara dagangan kad permainan (TCG) yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada Jumaat

Acara tersebut membuktikan bagaimana koleksi kad itu merupakan hobi seseorang meskipun perlu membuat pelaburan mencecah jutaan ringgit demi minat tersendiri.

Melihat kepada koleksi Damiral, dia memiliki pelbagai jenis kad yang sukar ditemukan dengan setiap daripadanya disahkan badan bebas, Professional Sports Authenticator yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ini sekali gus membuktikan pengumpul berkenaan bukan sahaja menyimpan kad, malah mempunyai pengalaman mendalam mengenai koleksi kad Pokemon yang menaikkan lagi nilai barangan tersebut.

Kisah penjualan mencecah RM1.87 juta itu menerima perhatian antarabangsa dengan agensi media seperti Gulf News di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan South China Morning Post (SCMP) kagum akan kesungguhan dan koleksi berkenaan.

Kad Pokemon pertama kali dikeluarkan di Jepun pada 1996 dengan ia pantas menjadi fenomena koleksi global, malah terdapat edisi jarang ditemui yang dijual pada harga enam angka pada acara lelongan antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram