Signifikasi di sebalik mengapa karpet Parsi kekal jadi pilihan hiasan kediaman zaman-berzaman


  • Hias
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Warna yang kaya dan nada yang hangat pada Karpet Parsi vintaj menyuntik kedalaman dan karakter unik ke dalam rumah.

DALAM dunia reka bentuk dalaman sentiasa berubah terdapat satu elemen dekorasi lantai terus bertahan, merentasi zaman dan trend. 

Meskipun hadir pelbagai gaya permaidani klasik dan moden, tetapi ia tidak dapat 'menewaskan' karpet Parsi vintaj yang mempunyai daya tarikan abadi, nilai sejarah dan kesenian unik.

Pakar reka bentuk dalaman menjelaskan, sekurang-kurangnya di kediaman harus memiliki satu karpet Parsi vintaj.

BACA LAGI: 'Al-Fatihah untuk suami selalu mengutamakan isteri, keluarga', isteri arwah Mustaqqeem luah rindu tak berpenghujung

BACA LAGI: 'Kejayaan sebenar bukan lagi di podium', Chong Wei rai ulang tahun kelahiran bersama insan tersayang

Ini kerana permaidani tradisional dari Iran itu bukan sekadar penutup lantai, tetapi sebuah karya agung yang membawa cerita, kehangatan dan hubungan emosi merentas generasi.

Karpet Parsi yang berasal dari Iran (dahulunya dikenali sebagai Parsi sehingga 1930-an), mempunyai sejarah mengagumkan antaranya paling awal dikesan seawal abad kelima Sebelum Masihi (SM). 

Ia adalah salah satu elemen dekorasi yang paling lama bertahan di dunia.

Christine Schumacher daripada Localia Interiors menjelaskan daya hidup karpet Parsi. 

"Ia melambangkan keabadian. Karpet Parsi vintaj membawa sejarah, kesenian dan resonansi emosi ke dalam ruang kualiti yang melangkaui mana-mana trend. 

"Sama ada diletakkan di rumah minimalis atau digabungkan dalam suasana lebih tradisional, ia mencipta rasa ketenangan dan ikatan segera. 

"Ia adalah salah satu daripada beberapa kepingan dekorasi yang benar-benar menghubungkan budaya dan generasi," katanya.

Karpet Parsi Vintaj membuktikan keanggunan yang tidak lapuk dek zaman, menjadi pilihan utama pereka dalaman global.

Sementara itu, menurut Pengarah Editorial di 1stDibs, Anthony Barzilay Freund, karpet Parsi menjadi barang koleksi yang dihargai sejak abad ke-17, ketika laluan perdagangan Silk Road membawa hasil kerja tenunan Parsi yang indah ini kepada perhatian pedagang Eropah.

"Sejak itu, karpet Parsi dihargai bukan sahaja kerana keindahan dan kesenian luar biasa, tetapi juga sebagai tanda pengetahuan mendalam dan kecanggihan," tambah beliau.

Karpet Parsi direka bukan sahaja untuk memberikan kehangatan atau melindungi lantai, tetapi juga untuk mewakili sesuatu yang sangat peribadi kepada pemiliknya. 

Tukang-tukang Iran terkenal dengan reka bentuk mereka yang unik, setiap satunya berbeza dari segi warna, corak dan mesej.

Corak karpet Parsi dicirikan oleh permukaannya yang rata tanpa timbunan bulu tebal (no pile), ditenun dengan corak berulang dan motif semula jadi. 

Reka bentuk bergantung kepada penaung, biasanya merangkumi beberapa bentuk ikonografi peribadi, menggunakan sutera dan bulu tempatan yang terbaik.

"Permaidani Pazyryk", salah satu contoh karpet Parsi paling awal yang masih wujud menunjukkan reka bentuk rumit termasuk gambaran penunggang kuda, rusa, griffin dan simbol teratai. 

Amalan itu terus berkembang pesat sehingga ia menjadi eksport popular, menghiasi istana Eropah menjelang abad ke-16.

Hari ini karpet Parsi adalah bentuk seni yang sering diletakkan sebagai titik fokus utama dalam skim dekorasi rumah.

Setiap helaian Karpet Parsi membawa kisah seni, sejarah, dan ikatan emosi yang menghubungkan generasi.

Apabila memilih permaidani Parsi, gaya vintaj membawa daya tarikan unik dan sejarah yang tiada tandingannya.

Anthony Barzilay Freund berkongsi pengalaman, "Saya hidup berdekad-dekad dengan Karpet Tabriz yang sama saya beli semasa bergelar siswazah. Dari apartmen studio dibawa sehingga ke rumah keluarga.

"Walaupun berpindah-randah, anak kecil memijaknya, terkena cahaya matahari atau tumpahan kopi rupanya masih hebat hingga hari ini."

Pengasas Storie Collective, Sara Swabb, menyokong sentimen ini: "Karpet Parsi vintaj menghubungkan ruang, secara literal dan emosi. Ia membawa rasa sejarah dan kesenian yang menghubungkan generasi. 

"Ini termasuklah membawa kehangatan dan ketahanan yang tidak dapat disangkal lagi. Sebab itulah karpet ini masih utuh mengatasi berabad-abad trend reka bentuk."

Karpet Parsi vintaj adalah item koleksi yang dicari oleh pereka dalaman kerana  menyuntikkan watak dalam mana-mana interior. 

Pereka Dalaman di Phoenix Interior Design LLC, Alexzandra Aguirre menyifatkannya sebagai gabungan unik seni dan kegunaan dan hasil daripada kesinambungan seni dan sejarah yang kaya.

Lauren Saab dari Saab Studio pula menekankan perbezaan ketara antara karpet baharu dan vintaj.

"Anda boleh mengetahui perbezaan antara karpet Parsi baharu dan vintaj sebaik sahaja melihatnya. Terdapat sesuatu yang 'hidup' dalam cara pembuatannya.

"Warna dan kehangatannya tidak dimiliki oleh bahan baharu. Walaupun di dalam bilik moden, permaidani seperti itu menyeimbangkan segala elemen dan menjadikan ruang terasa selesa."

Karpet Parsi, yang berasal dari Iran, adalah warisan seni tenunan yang telah wujud sejak abad kelima Sebelum Masihi.

Untuk pembeli yang ingin mencari Karpet Parsi vintaj, Anthony menyarankan agar mencari kepingan yang mempunyai kualiti binaan, bahan dan dekorasi yang halus. 

Beliau menekankan pentingnya bekerjasama dengan peniaga berpengalaman untuk mengesahkan ketulenan dan mendapatkan pengetahuan tentang ciri-ciri teknikal permaidani yang berbeza mengikut kawasan asal.

Antara jenis karpet Parsi yang paling dicari dan bernilai tinggi hari ini ialah Heriz, Serapi, Tabriz, Malayer, Kirman dan Sarouk.

Alexzandra menasihati pembeli mencari permaidani tenunan tangan yang mana pewarna berasaskan tumbuhan semula jadi dan bulu berkualiti tinggi bagi memastikan warna dan kecantikan tahan lama. 

Penting juga memeriksa keserataan tenunan dan ketiadaan pembaikan atau kerosakan ketara.

Dalam aspek penggayaan, karpet Parsi dianggap sebagai salah satu objek dekoratif paling serba boleh.

Ia sesuai diletakkan sebagai asas berwarna-warni dalam ruang minimalis moden atau sebagai lapisan kehangatan dalam ruang tradisional maximalist.

Melihat perincian corak rumit pada Karpet Parsi, ia adalah sebuah karya seni yang dipamerkan di atas lantai.

Alexzandra menyarankan agar karpet Parsi dijadikan titik fokus. 

"Permaidani yang kaya dan rumit kelihatan terbaik bersama perabot ringkas dan berwarna padu untuk menghargai kesenian tanpa perincian berlebihan. 

"Gabungan meja kopi kaca dan dekorasi minimalis yang licin dengan Karpet Parsi menawarkan sentuhan kontemporari yang hebat, menggabungkan daya tarikan dunia lama dan gaya moden dengan indah," jelasnya.

Secara ringkasnya, karpet Parsi adalah pelaburan dalam dekorasi yang tidak akan luput dek zaman, membawa sejarah dan keselesaan menjadikan sesebuah rumah terasa istimewa dan peribadi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram