Dahulu 'shopaholic', Soyeon berhenti beli baju baharu selama 7 tahun, tukar pakaian sesama kenalan


  • Gaya
  • Isnin, 27 Okt 2025

Bertukar pakaian dengan rakan bukan sahaja menjimatkan, tetapi juga cara mudah memberi nafas baharu kepada gaya harian. — Gambar hiasan/Janaan AI

ALMARI pakaian di rumah sering kali penuh dengan helaian pakaian. ada yang masih berlabel, ada pula yang hanya dipakai sekali dua sebelum dilupakan.

Setiap tahun, koleksi baharu ditambah, sementara yang lama terus tersimpan di dalam almari.

Namun pernahkah kita terfikir, berapa lama sebenarnya kita boleh bertahan tanpa membeli sehelai baju baharu?

BACA LAGI: Impian remaja jadi nyata, Sarimah Ibrahim bakal kendali Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

BACA LAGI: Waris Givenchy pilih wanita Korea sebagai pasangan hidup, majlis perkahwinan mewah curi tumpuan dunia fesyen

 

Di saat kebanyakan orang menjadikan membeli-belah sebagai rutin, seorang wanita bernama So-Yeon memilih jalan yang berbeza.

Tujuh tahun lamanya beliau hidup tanpa membeli pakaian baharu, sebaliknya belajar menghargai, menukar dan membaiki apa yang sudah dimiliki.

Keputusan itu bukan sekadar percubaan mengubah gaya hidup, tetapi juga cara untuk menolak budaya membeli-belah berlebihan yang semakin menghilangkan makna sebenar dalam berpakaian.

Bagi wanita dari Korea itu, perubahan tersebut bermula dengan satu kesedaran, iaitu membeli pakaian baharu tidak semestinya membawa kepuasan.

Lebih menarik, beliau mengakui dirinya terdahulu seorang 'kaki shopping' yang gemar membeli pakaian setiap kali terlihat sesuatu yang menarik.

Home wardrobe or clothing shop changing room. Asian young woman choosing her fashion outfit clothes in closet at home or store. Girl think what to wear sweater.

Pakaian sedia ada ialah pilihan paling praktikal. — Gambar hiasan/Freepik

Namun semakin banyak yang dibeli, semakin sukar untuk merasakan puas.

"Saya pernah membeli-belah hampir setiap hari, tetapi setiap pagi saya tetap rasa seperti tiada apa yang sesuai untuk dipakai," katanya dalam satu video perkongsian yang dimuat naik agensi.

Keadaan itu membuatkan So-Yeon menilai semula hubungannya dengan fesyen dan keperluan diri.

Beliau mula memahami bahawa gaya sebenar tidak datang daripada jumlah pakaian yang dimiliki, tetapi daripada cara menghargai dan menggunakan semula apa yang sudah ada.

Untuk kekal bergaya tanpa membeli pakaian baharu, So-Yeon berpegang pada empat prinsip utama:

1. Fahami diri dan gaya hidup sendiri

Beliau menyedari kebiasaannya membeli pakaian yang tidak sesuai dengan keperluan harian.

"Saya bekerja di pejabat lima hari seminggu, tetapi saya sering membeli baju berwarna terang yang langsung tidak berkaitan dengan gaya hidup harian saya," katanya.

Dengan memahami keperluan sebenar, So-Yeon mula menolak pembelian impulsif dan hanya mengekalkan pakaian yang benar-benar digunakan.

2. Utamakan pakaian yang sudah dimiliki

Bagi So-Yeon, pakaian paling lestari ialah yang sudah berada dalam almari. Beliau masih menyimpan pakaian ibunya dari tahun 1980-an, bajui yang pernah dipakai pada hari pertama ibunya bekerja.

"Baju itu bermakna bagi saya," ujarnya. Malah, beliau masih memakai t-shirt lama berusia 14 tahun yang masih elok dan selesa.

Womab, hands and sewing clothes button in studio for designer wear, fashion garment and creative fabric design. Tailor, boutique startup and fashion designer hand or seamstress working on clothing

Membaiki pakaian yang rosak membantu menjimatkan dan mengelakkan pembaziran. — Gambar hiasan/iStock

3. Bertukar pakaian dengan kenalan

Daripada membeli baharu, beliau memilih untuk bertukar pakaian bersama rakan-rakan dan rakan sekerja.

"Anda tidak memerlukan sesuatu yang baharu untuk merasa segar. Anda hanya perlu perspektif baharu," katanya menekankan pentingnya berkongsi dan memberi peluang kedua kepada pakaian.

4. Perbaiki, bukan ganti

Apabila pakaian rosak, So-Yeon memilih untuk membaikinya sendiri seperti menggantikan butang yang tercabut atau menjahit semula bahagian yang terkoyak.

"Ia jauh lebih mudah untuk membeli sesuatu yang baharu, tetapi pembaikan kecil membantu saya melihat pakaian saya dengan cara yang berbeza," jelasnya.

Langkah-langkah kecil tersebut akhirnya membentuk perubahan besar dalam cara beliau melihat nilai, fungsi dan makna berpakaian.

So-Yeon percaya bahawa kesedaran terhadap pembaziran dan impak industri fesyen terhadap alam sekitar adalah alasan sebenar di sebalik keputusannya untuk berhenti membeli. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram