Permintaan 'melampau', laman dagang minta ibu rakam video 5 minit tampar anak sebagai syarat 'refund'


  • Bonda
  • Khamis, 23 Okt 2025

Insiden itu menjadi tular selepas seorang ibu didakwa dipaksa merakam video menampar anak oleh platform jual beli di China. — Gambar hiasan/Janaan AI

SEBUAH platform jual beli barangan terpakai popular di China menimbulkan kontroversi besar dalam talian selepas didakwa meminta seorang ibu merakam video selama 5 minit menampar anaknya tanpa henti sebagai syarat untuk proses pemulangan wang.

Agensi melaporkan, kejadian itu menjadi tular Li Yun cuba mendapatkan wang balik selepas mendapati anak gadisnya berusia 11 tahun secara rahsia membelanjakan lebih 500 yuan (kira-kira RM350) untuk kad perdagangan di aplikasi Qiandao.

Platform terbabit terkenal sebagai tempat utama di China untuk membeli dan menjual mainan terpakai serta barang koleksi sedang trending.

BACA LAGI: Gaya hidup 'tak mahu miliki anak' berisiko dedah wanita kepada kanser payudara

BACA LAGI: Beri sokongan emosi antara tip penting buat ibu bapa apabila anak sudah akil baligh

Pada 2025, jumlah transaksi di platform itu melebihi 10 bilion yuan (RM5 bilion).

Apabila Yun menghubungi penjual untuk meminta pemulangan wang atas pembelian anaknya yang dibuat hanya dua jam sebelumnya, penjual menuduh beliau menyamar sebagai ibu bapa untuk membatalkan pesanan dengan niat jahat.

Pada masa sama, menghantar 'Notis Pemulangan Bawah Umur' yang menuntut beberapa syarat luar biasa.

Antaranya video 5 minit menampar anak tanpa henti, memarahi anak sekurang-kurangnya 3 minit serta surat permohonan maaf daripada anak tulisan tangan sebanyak 1,000 aksara yang perlu ditandatangani, dicap jari dan dibaca bersama oleh ibu dan anak.

Apabila Yun mendapatkan bantuan daripada khidmat pelanggan, beliau diberitahu bahawa platform tidak boleh mengambil tindakan terhadap penjual dan disarankan supaya kedua-dua pihak berunding secara terus.

Kejadian berkenaan menimbulkan kontroversi dalam talian dan mencetuskan perbezaan pendapat orang ramai.

Sebahagian pihak menyokong tindakan penjual dengan alasan bahawa anak menggunakan duit ibu bapa tanpa izin dan melanggar peraturan jual beli, jadi penjual tidak wajar menanggung semua kesalahan.

Namun, ramai terkejut dan menentang, menyatakan bahawa permintaan itu adalah bentuk paksaan yang menempatkan ibu bapa dalam situasi membahayakan anak sendiri.

Mereka menegaskan bahawa kaedah tersebut terlalu melampau dan tidak sesuai sebagai cara menyelesaikan pertikaian selepas jualan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram