Tukar lokasi pun orang masih cari paru 'crispy', nasi Padang kini taruhan pasangan suami isteri dari Kedah di Zafza Cafe Seri Kembangan


  • Bisnes
  • Sabtu, 25 Okt 2025

Zafza Cafe Atmosphere menawarkan pelbagai keunikan makanan yang menepati selera setiap pengunjung. — Facebook

SANTAI, tenang dan mendamaikan. Itu gambaran yang boleh diberikan kepada Zafza Cafe Atmosphere di sebalik kesibukan bandar Seri Kembangan.

Dikelilingi gugusan bangunan tinggi, terletak berhampiran MRT dan pusat aktiviti ekonomi bagi penduduk setempat, Zafza Cafe Atmosphere tetap menghadirkan ketenangan buat pengunjung menikmati hidangan tidak kira di waktu pagi, tengah hari atau malam.

Beroperasi seawal 8 pagi sehingga 11 malam setiap hari kecuali Isnin, Zafza Cafe Atmosphere yang diusahakan pasangan suami isteri, Zainal Azhar Mohamed dan Siti Salmah Abdul Hamid, menawarkan pelbagai keunikan makanan yang menepati selera setiap pengunjung tidak kira dari dalam atau luar negara.

BACA LAGI: Tengku Zafrul 'sapot' bekas staf MITI, belanja Menteri Ekonomi negara-negara ASEAN makan nasi lemak

BACA LAGI: Ikan bakar Jalan Bellamy masih popular, peniaga teruskan legasi warisan rasa lebih 40 tahun

Latar belakang suami isteri itu yang jauh dari bidang masakan tidak menjadi penghalang buat mereka berdua meniti perjalanan dalam dunia kulinari.

Zainal sebagai seorang bekas editor dan wartawan, mengimbau kembali perjalanan bisnes itu yang bermula semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 pada 2019.

"Idea ini datangnya daripada isteri saya, Siti Salmah yang memang minat memasak.

"Apabila bermulanya PKP, kami hanya beroperasi di rumah dengan memasak dan menjual menerusi secara dalam talian.

"Menu pertama kami mula jual adalah nasi lemak bunjut yang ada kelainnya tersendiri dan Alhamdulillah sambutannya dan permintaan amat baik disebabkan PKP.

"Kemudian kami mula tambah menu lain seperti nasi lemak bunjut daging rendang dan paru sambal crispy yang paling banyak mendapat sambutan masa itu.

"Kami juga tambah paru crispy sebab pada masa sama, saya juga ada jual daging lembu tempatan, jadi paru yang berlebihan kita proses jadi paru sambal crispy.

"Ramai pelanggan beritahu menu paru yang dijual memang nipis dan rangup," kata bapa kepada lima orang anak itu.

Bercerita soal jualan, Zainal tidak menafikan ada waktu pasang surutnya dalam perniagaan, apatah lagi dalam industri masakan yang mempunyai lambakan pilihan dan persaingan.

"Dari segi jualan, saya pernah dapat hasil paling rendah RM5 saja sehari dan kalau paling tinggi pernah cecah RM2,000 sehari. Itu semua termasuk jualan nasi lemak, paru sambal crispy dan lain-lain.

"Tapi biasalah dalam berniaga, bila PKP dah habis, pelanggan makin kurang sebab semua orang boleh makan di kedai," kata anak jati Kedah itu.

Bermulanya Zafza

Keputusan untuk membuka kafe bukan semudah yang disangka kerana bagi Zainal, langkah itu perlu seiring dengan komitmen dan tekad bagi memastikan perniagaan mereka benar-benar berjaya dan tidak terhenti di tengah jalan.

Dengan pengalaman berniaga hampir dua tahun sepanjang PKP, pasangan suami isteri itu akhirnya nekad untuk membuka kafe sendiri, dimudahkan lagi dengan kelengkapan yang serba mencukupi.

"Lagi pun, saya rasa kalau kami terus beroperasi di rumah macam tak sesuai kerana takut mengganggu keselesaan jiran.

"Dan kami beranikan diri untuk buka kafe yang beroperasi di Puncak Jalil bermula dengan setingkat dan kami naik taraf jadi dua tingkat untuk jana pendapatan menerusi sewa ruang acara.

Lokasi baharu Zafza Cafe terletak di Seri Kembangan. 

"Kalau masa PKP nasi lemak bunjut paling popular, lain pula ceritanya apabila kami buka kafe.

"Menu paling popular ketika itu adalah nasi enam sambal yang masih kekalkan konsep daging crispy, paru crispy, ayam crispy, sotong crispy, bawal crispy. Dan seperti sebelumnya, pelanggan paling suka daging dan paru crispy," katanya.

Malah ditanya tentang idea nama Zafza, Zainal berkata, nama tersebut ibarat semangat buatnya untuk terus berjaya memandangan Zafza berasal dari gabungan nama anak-anaknya. 

"Pada mulanya saya fikir nama apa yang sesuai. Mulanya nak letak Zaf saja tapi saya risau orang susah nak sebut. Jadi kami pilih nama Zafza sebab mudah nak sebut dan ingat," katanya.

Hijrah lokasi

Seperti asam garam perniagaan, Zainal dan Siti Salmah turut diuji dengan cabaran untuk mengekalkan perniagaan mereka selepas lebih dua tahun berniaga di Puncak Jalil.

Segalanya bermula apabila pemilik premis perniagaan mereka membuat keputusan untuk mengenakan sewa dengan kadar kenaikan sebanyak RM2,500 bagi kontrak baharu sewa premis.

"Masa itu sewa dinaikkan sampai RM2,500, bukan RM400 atau RM500, ketika kami mahu tandatangani kontrak baharu.

"Jadi dengan kos yang kami laburkan untuk ubah suai kedai, termasuk kos deposit untuk ubah suai cecah RM20,000, itu satu tekanan buat kami untuk meneruskan operasi di sana.

 

 

"Itu belum dikira dengan jualan yang tidak menentu terutamanya di tengah-tengah bulan sebab ramai orang belum gaji dan begitu juga musim cuti sekolah sebab keluarga akan habiskan masa di rumah dan kurang makan di luar.

"Disebabkan sewa yang dinaikkan terlalu mahal, maka kami ambil keputusan untuk berhijrah ke tempat baharu di kawasan komersial Atmosphere, Seri Kembangan.," katanya.

Namun segalanya ibarat satu hikmah buat Zainal dan isteri apabila keputusan mereka untuk berhijrah ternyata memilik asbab yang tersendiri apabila lokasi baharu perniagaan mereka menampakkan perbezaan ketara dari segi sambutan dan jualan.

"Alhamdulillah, kalau tengok di sini, kafe kami dapat unit corner lot dengan suasana yang lebih selesa untuk pelanggan," katanya.

Keunikan menu

Bukan setakat berhijrah lokasi, Zainal juga memastikan Zafza Cafe diberi nafas baharu sama ada dari segi dekorasi kedai dan kepelbagaian menu yang ditawarkan kepada pelanggan.

Berbeza dengan suasana serba hitam di Puncak Jalil, Zafza Cafe Atmosphere kini tampil dengan konsep yang lebih segar dan mendamaikan, menggabungkan elemen moden dari segi dekorasi dan tradisonal di sudut menunya.

"Di sini, kami ada tambahan menu nasi kampung dan nasi padang. Walaupun kami tambah menu baharu, top sales kami masih lagi daging dan paru crispy.

 

"Tapi nasi padang dan nasi kampung pun sudah semakin mendapat sambutan lebih-lebih lagi pada hujung minggu kerana kita selalu terima tempahan awal dari tengah hari sampai ke malam.

"Tempahan ini biasanya melibatkan acara makan bekeluarga dan sambutan hari jadi.

"Kita juga ada satu lagi menu ramai pelanggan suka iaitu piza Zafza yang dihasilkan mengikut resepi kami sendiri.

"Menu piza memang dah ada masa di Puncak Jalil, dan Alhamdulillah masih mendapat tempat dalam hati pelanggan walaupun di tempat baharu.

"Menariknya, resepi piza ini adalah hasil idea daripada isteri saya dan staf yang mengikut cita rasa majoriti pelanggan. Jadi itu kelainan piza kami," katanya.

Selera pelanggan cetus idea

Memang diakui cabaran yang paling selalu dihadapi adalah memenuhi cita rasa pelanggan. 

"Contohnya macam masakan kampung, kita ada daging salai masak lemak cili api dan dimasak ikut negeri berbeza. Kita buat macam ini supaya dapat penuhi kehendak dan selera pelanggan yang mahu masakan itu benar-benar mengikut negeri asal mereka," cerita Zainal.

Memandangkan mereka berdua berasal dari Kedah, jadi semestinya menu-menu dari Utara dipromosikan agar dapat mengikut kesesuaian pelanggan.

"Tumpuan kami memang pada menu top sales daging dan paru crispy, tetapi kami sentiasa terbuka untuk menerima cadangan pelanggan yang boleh mengisi borang yang disediakan di kafe kami," katanya.

Zafza Cafe menyediakan hidangan yang memenuhi selera dewasa hingga kanak-kanak.  — Facebook

Zainal berkata, Zafza ada menu yang memiliki keunikan tersendiri.

"Contohnya, kalau kita datang satu famili makan nasi kampung, saya selalu perhati budak-budak kurang minat makan nasi.

"Jadi kami sediakan menu untuk kanak-kanak macam nuget, kentang goreng, poppies dan desert. Kita pun tak nak pelanggan tergesa-gesa. Kita mahu mereka menikmati makanan utama dan menu-menu lain yang lebih santai," katanya.

Menurutnya, keselesaan pelanggan amat diutamakan, justeru, mereka mengadakan penyaman udara selain memastikan keadaan kafe sentiasa bersih terutamanya di tandas.

Jadi katanya, dengan suasana selesa, pelanggan akan lebih bersantai tidak kira sama ada untuk bermesyuarat, berbincang atau buat sambutan hari jadi di premis tersebut.

“Dengan suasana selesa, pelanggan boleh bersantai, berbincang atau adakan sambutan hari jadi di sini. Sebab itu kami tawarkan pakej khas untuk acara sebegitu,” jelasnya.

Perluasan dan strategi

Zainal berkata, Zafza turut menawarkan perkhidmatan katering kerana sebahagian masakan diuruskan melalui dapur pusat (central kitchen).

“Kita memang nak kembangkan perniagaan, tapi kena tengok juga faktor lokasi sebab bagi saya, persekitaran amat penting dalam bisnes makanan,” katanya.

Bagi menarik lebih ramai pelanggan, Zafza merancang mengadakan aktiviti busking di ruang terbuka kafe.

“Saya nampak potensi ruang ini untuk menarik pelanggan terutama pada waktu malam. Apabila ada busking, suasana lebih hidup dan santai,” tambahnya.

Zafza turut menjadi tumpuan pelbagai lapisan pelanggan termasuk pelajar antarabangsa.

Zafza Cafe menyediakan ruang untuk acara majlis hari jadi, pertunangan, jamuan nikah, hi-tea, reunion atau apa sahaja dengan kadar sewa berpatutan. — Facebook

“Kita ada anak muda dari Afrika, pelajar Rusia dan komuniti China yang tinggal berhampiran Cyberjaya. Tapi pelanggan tempatan tetap keutamaan kami,” katanya.

Zainal berkongsi kisah seorang pelanggan Rusia yang pertama kali mencuba kuetiaw goreng.

“Mula-mula dia segan nak tanya sebab takut makanan tu pedas. Tapi bila saya terangkan dan dia cuba, terus dia suka. Itu kali pertama dia rasa kuetiaw goreng,” ujarnya sambil tersenyum.

Selain masakan tempatan, Zafza turut menawarkan menu barat seperti spageti, beef & cheese dan chicken chop bagi pelanggan yang inginkan kelainan.

“Kalau poppies pula, ramai suka yang berinti pisang — menu simple tapi unik. Jadi walaupun datang dalam kumpulan, semua boleh pilih hidangan ikut selera masing-masing,” katanya.

Menariknya, Zafza juga menawarkan kemudahan pesanan ‘drive-thru’ melalui kod QR yang boleh diimbas dari petak parkir khas untuk pelanggan yang ingin ambil makanan tanpa turun dari kereta. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram