[VIDEO] Barang kemas lebih RM456 juta lesap di Muzium Louvre, video bongkar taktik perompak guna lif barang


  • Benua
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Rantai zamrud dan berlian pernah dihadiahkan Napoleon kepada isterinya, Permaisuri Marie Louise turut dicuri. — Agensi

KES kecurian terbesar dalam sejarah moden Muzium Louvre kini memasuki fasa siasatan forensik, selepas pihak polis Perancis menemui DNA suspek pada topi keledar dan sarung tangan yang ditinggalkan di lokasi kejadian.

Kecurian yang berlaku di muzium paling ikonik dunia itu melibatkan kerugian dianggarkan €88 juta (sekitar RM456 juta), membabitkan beberapa permata bersejarah era Napoleon termasuk tiara dan bros milik Maharani Eugenie.

Rakaman kamera keselamatan dari Galeri Apollo menunjukkan dua suspek berpakaian hitam dengan salah seorang memakai topi keledar motosikal, manakala seorang lagi rompi keselamatan berwarna kuning.

BACA LAGI: Barang kemas diraja Perancis lesap, mahkota bertatah burung helang emas pecah dalam rompakan 7 minit di Muzium Louvre

BACA LAGI: Warisan seni, alam bersatu, 5 hiasan landskap serikan Taman Tasik Titiwangsa

Dalam video berdurasi 36 saat yang disahkan oleh Le Parisien menyaksikan mereka dilihat turun perlahan menggunakan lif barang sebelum melarikan diri dengan menaiki skuter.

Rakaman tersebut membantu polis membina semula kronologi kejadian yang dipercayai berlangsung kurang daripada tujuh minit, dengan kedua-dua pencuri hanya berada di dalam ruang pameran selama empat minit.

Dalam tempoh itu, mereka memotong bingkai tingkap menggunakan alat pemotong, membuka dua vitrin kaca yang menempatkan perhiasan Napoleon sebelum melarikan diri tanpa mencetuskan sebarang kekecohan.

Pengarah Muzium Louvre, Laurence des Cars mengakui wujud kelemahan ketara dalam sistem keselamatan muzium berkenaan.

Dia memaklumkan kepada Senat Perancis bahawa liputan kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian luar muzium terlalu terhad dan kini satu penilaian keselamatan menyeluruh sedang dijalankan.

Menurut laporan ABC News, Geoffrey Kelly iaitu bekas ejen FBI dalam bidang jenayah seni menyifatkan penemuan DNA tersebut jelas boleh membantu dalam siasatan kes berkenaan.

Pihak polis kini sedang menganalisis sampel DNA berkenaan menggunakan pangkalan data polis nasional dan Interpol.

Sekiranya DNA yang ditemui berjaya membawa kepada identiti pelaku sebelum barangan itu diubah suai, penyiasat masih mempunyai peluang menyelamatkan sebahagian warisan berharga Perancis yang hilang.

Setakat ini, Muzium Louvre telah dibuka semula kepada pengunjung seperti biasa sementara siasatan diteruskan secara intensif oleh pihak berkuasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram