
TINDAKAN penuh kasih seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) sindrom Down membetulkan tudung ibunya di dalam tren menjadi tular selepas dirakam oleh seorang penumpang yang tersentuh melihat keakraban mereka.
Menerusi perkongsian di laman Threads oleh pengguna @mohdshahril786 pada Isnin, video berdurasi pendek itu disertakan dengan kapsyen yang cukup menyentuh hati:
“Dia sudah tentu syurga, ditambah pula dia jaga syurga (ibu) dia.”
Menurut Shahril, dia tidak pasti dari mana pasangan beranak itu menaiki tren, namun mereka turun bersama di Stesen KTM Arau, Perlis.
“Semoga dipermudahkan urusan keluarga ini,” katanya.
Video yang dirakam menunjukkan suasana tenang di dalam tren sebelum remaja istimewa itu secara spontan menghulurkan tangannya untuk membetulkan tudung ibunya.
Tindakan kecil namun sarat dengan kasih sayang itu membuatkan ramai penonton berasa sebak dan tersentuh.
Bagi Shahril sendiri, momen berkenaan bukan sekadar pemandangan biasa, tetapi simbol kasih sejati seorang anak yang menghargai dan menjaga ibunya dengan penuh keikhlasan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa kagum dan terharu melihat keindahan hubungan antara ibu dan anak itu.
Seorang pengguna Threads, @muhdfaqhrulradzi, berkata golongan istimewa seperti remaja berkenaan sebenarnya banyak mengajar erti kehidupan kepada orang lain.
“Banyak sebenarnya benda yang kita boleh belajar dan ambil tauladan daripada mereka ini. Untung masa kecil dulu ada kawan dan saudara sendiri macam ini, sebab mereka mengajar makna kehidupan secara langsung dan tidak langsung,” ujarnya.
Sementara itu, pengguna @4min_din pula berpendapat keistimewaan sebenar seseorang anak bukan terletak pada kedudukan atau statusnya, tetapi pada keikhlasan hatinya dalam menghargai ibu bapa.
“Pangkat dan darjat bukan ukuran untuk dapat gelaran anak soleh,” tulisnya.
Dalam pada itu, @hajanahimok turut meluahkan rasa sebak melihat momen berkenaan yang disifatkan sebagai sesuatu yang jarang dilakukan oleh anak-anak pada zaman ini.
“Terharunya, orang yang sempurna sifat dan akalnya pun belum tentu akan buat semua itu,” katanya.
Video yang tular itu menjadi peringatan lembut buat semua bahawa kasih sayang seorang anak terhadap ibunya tidak memerlukan harta, pangkat mahupun kata-kata manis cukup dengan tindakan kecil yang lahir dari hati yang tulus.
Dalam dunia yang semakin sibuk ini, momen sebegitu mengingatkan kita bahawa cinta seorang anak kepada ibunya adalah bentuk kasih paling suci yang tidak ternilai harganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram