
GARA-GARA tindakan jiran cuba membunuh lipas menggunakan pemetik api dan penyembur aerosol, seorang wanita warga China berusia 30-an maut selepas menyelamatkan bayi perempuannya berusia dua bulan dalam kejadian kebakaran di Osan, Wilayah Gyeonggi, Korea Selatan, pada Isnin.
Menurut laporan Balai Polis Osan, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.35 pagi di sebuah bangunan bercampur kediaman dan komersial di bandar itu.
Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada tindakan seorang wanita berusia 20-an, dikenali dengan A, yang cuba membunuh lipas dengan menyembur bahan mudah terbakar sebelum menyalakannya menggunakan pemetik api, sehingga menghasilkan nyalaan seperti ‘penyembur api mini’.
Api pantas merebak ke katil dan timbunan sampah berhampiran, menyebabkan suspek segera menghubungi pihak kecemasan.
Pasukan bomba yang bergegas ke lokasi berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh kira-kira 40 minit kemudian.
Api pantas merebak ke katil dan timbunan sampah berhampiran menyebabkan semua penduduk melarikan diri. — Agensi
Bagaimanapun, kebakaran itu mengorbankan nyawa mangsa yang hanya dikenali sebagai B dan lapan lagi penghuni dilaporkan mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal.
Difahamkan mangsa tinggal di tingkat lima bangunan berkenaan dan ketika kejadian itu, B dan suaminya dilaporkan membuka tingkap untuk meminta bantuan sambil mendukung bayi mereka.
Jarak antara bangunan yang kurang daripada satu meter membolehkan jiran di bangunan bersebelahan mencapai dan menyambut bayi mereka dengan selamat.
Suami B turut berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat ke bangunan bersebelahan.
Namun, B dipercayai terjatuh ketika cuba memanjat keluar sehingga mengakibatkan kecederaan parah.
Dia dikejarkan ke Hospital Universiti Ajou, tetapi disahkan meninggal dunia sekitar pukul 10.40 pagi, kira-kira lima jam selepas kejadian.
Polis percaya pasangan itu cuba melarikan diri melalui tingkap selepas asap tebal menutupi laluan tangga.
Pihak berkuasa memohon waran tangkap terhadap suspek atas kesalahan menyebabkan kebakaran secara cuai hingga mengakibatkan kematian dan kecederaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram