HEBOH diperkatakan di media sosial sejak Rabu setelah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengutuk tindakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang kononnya mengadakan latihan di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.
Takiyuddin yang juga merupakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berkata demikian dalam sesi Dewan Rakyat dengan menyatakan latihan itu dibuat pada 19 September lalu.
Bagaimanapun, isu tersebut pantas dijawab APMM yang menyatakan tuduhan tersebut tidak berasas selain berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral operator pasukan elit negara.
BACA LAGI: Murid Tahun 4 maut dekat sekolah di Senawang: Takiyuddin dakwa miliki maklumat
BACA LAGI: SPRM patut fokus siasat laporan kes rasuah bukan tahan wartawan — Takiyuddin

Foto dikongsikan APMM ketika melakukan latihan di Masjid Rusila.
Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, latihan yang dimaksudkan ialah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).
"Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.
"Pihak masjid sudah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku," katanya.
Bagaimanapun, pada Khamis, pihak pengurusan Masjid Rusila turut tampil mengeluarkan kenyataan dengan memaklumkan mereka tidak pernah menerima sebarang permohonan atau permakluman daripada APMM.

Kenyataan dikeluarkan Masjid Rusila yang mempersoalkan kebenaran Maritim mengadakan latihan. — Facebook/Masjid Rusila
Pengerusi Jawatankuasa Masjid Rusila, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, pihaknya kecewa atas sikap dan tindakan tidak profesional ditunjukkan agensi terbabit dalam menyelesaikan isu berkenaan.
"Pihak masjid juga menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapat pengesahan dari mereka sekiranya ada apa-apa aktiviti dari mana-mana agensi yang berkaitan.
"Jawapan yang kami terima tiada apa-apa aktiviti yang dijalankan pada masa dan tarikh tersebut di bawah permakluman mereka," katanya dalam kenyataan itu.
Pihak masjid juga mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan mendakwa hanya menerima permakluman lisan dan permohonan maaf melalui telefon daripada pihak APMM selepas itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
