[VIDEO] Mangsa pondok runtuh tenang berbual dengan penyelamat, tetap tunaikan solat 5 waktu walau tidak berdaya


  • Benua
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Tangkap layar video perbualan Haikal bersama salah seorang pasukan penyelamat ketika operasi SAR.

KISAH menyayat hati terungkai daripada para pelajar Pondok Pesantren Al Khoziny Buduran, Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia yang terselamat selepas terperangkap di bawah runtuhan bangunan surau pondok itu yang roboh pada Isnin.

Sehingga berjaya dikeluarkan dua hari kemudian, para pelajar berjuang untuk terus hidup dalam keadaan penuh getir dan menanti untuk diselamatkan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa yang hadir menziarahi mangsa di hospital pada Khamis diberi kesempatan mendengar sendiri pengalaman mereka yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Masjid runtuh selepas solat Asar, pelajar sekolah pondok di Indonesia menjerit 'Allahuakbar' tersepit tahan kesakitan

BACA LAGI: Pernah dihina kawan, wanita kampung kini usahawan berjaya, bina empayar produk kecantikan seluruh Indonesia

Antara kisah yang menyentuh hati Khofifah Indar adalah pengalaman Syailendra Haical atau lebih mesra disapa Haikal, kedua-dua berusia 13 tahun.

Nama Haikal baru-baru ini tular apabila video perbualannya bersama salah seorang pasukan penyelamat ketika operasi SAR berkenaan meraih perhatian warganet di media sosial.

Dalam video berdurasi satu minit 46 saat itu menyaksikan Haikal menceritakan tubuhnya terasa sakit sepanjang tertimbus, namun tetap cuba bertahan dengan semangat yang diberikan petugas penyelamat.

Selepas diselamatkan pada Rabu, Haikal mendedahkan bahawa dia tetap menunaikan solat lima waktu meskipun dalam keadaan tidak berdaya.

Dengan hanya menggerakkan mata, sebagaimana diajarkan ibu bapanya, Haikal meneruskan ibadahnya. Bahkan ketika masuk waktu Isyak, dia sempat membangunkan rakannya untuk turut bersolat bersamanya.

"Jom solat, jom solat,” ujar Haikal pada waktu itu.

Dia juga mendengar suara seseorang mengimami solat meskipun tidak dapat mengenali siapa, tetapi ketika Subuh menjelang, sahutannya tidak berbalas dan ketika itulah dia sedar rakannya sudah tiada.

Kisah mengharukan lain datang daripada pelajar bernama Alfatih Cakra Buana, 14 tahun, yang berjaya diselamatkan selepas dikatakan tertidur selama tiga hari ketika terperangkap dalam runtuhan itu.

"Ketika diselamatkan, Alfatih terus meminta minuman ais," cerita Khofifah dengan penuh sebak sambil memuji semangat luar biasa yang ditunjukkan para pelajar pondok berkenaan.

Difahamkan, Haikal dan Alfatih kini dirawat di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Notopuro Sidoarjo.

Menurut data sementara, tragedi yang berlaku pada 29 September itu melibatkan seramai 108 mangsa dengan 103 daripadanya terselamat dan lima lagi dilaporkan meninggal dunia.

Daripada jumlah itu, 18 berjaya dikeluarkan pasukan SAR gabungan manakala 90 orang menyelamatkan diri sendiri. Difahamkan, masih terdapat 59 santri tertimbus tanpa tanda-tanda kehidupan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram