
SERAMAI 8.8 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 akan menerima bayaran Fasa 4 bermula Sabtu (18 Oktober), lebih awal daripada jadual asal pertengahan November, sebelum sambutan Deepavali.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan sejumlah RM2 bilion diperuntukkan bagi pembayaran kali ini, dengan kadar antara RM100 hingga RM700 mengikut kategori penerima.
Jumlah tersebut termasuk 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bayaran Fasa 4 STR, yang mana penyaluran akan dibuat mulai 13 November 2025.
BACA LAGI: Tiada lagi STR untuk bujang, tapi ada ‘rezeki’ RM700 bawah bantuan tanpa tunai SARA
Berbanding Fasa 1 pada Januari 2025, jumlah penerima Fasa 4 meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah daripada 8.3 juta susulan keputusan Kerajaan Madani untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.
"Bagi pembayaran kali ini, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran secara terus dikreditkan ke akaun masing-masing antara 18 hingga 24 Oktober.
"Penerima tanpa akaun bank termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan, boleh menuntut bayaran tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Selasa ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Berikut adalah kadar bayaran mengikut kategori:
Isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah: RM200 – RM700 (3.1 juta penerima)
Isi rumah berpendapatan RM2,501 – RM5,000: RM100 – RM350 (1 juta penerima)
Warga emas tiada pasangan: RM150 (1.3 juta penerima)
Bujang: RM150 (3.4 juta penerima)
Kerajaan turut memaklumkan pendaftaran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 akan dibuka sepanjang tahun bagi memberi peluang lebih ramai rakyat menikmati bantuan kerajaan.
Bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan dan disemak bersama maklumat agensi berkaitan bagi menentukan kelayakan STR dan SARA 2026.
Antara agensi terbabit ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), eKasih, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) serta institusi zakat dan baitulmal negeri.
Langkah penyelarasan itu bertujuan mengurangkan risiko keciciran serta memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.
Pada pembentangan Belanjawan MADANI Keempat 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan keseluruhan STR dan SARA 2026 sebanyak RM15 bilion, sebagai bukti komitmen kerajaan membantu rakyat mendepani tekanan kos sara hidup.
Orang ramai boleh menyemak status dan maklumat lanjut melalui portal rasmi STR di https://bantuantunai.hasil.gov.my.
MOF turut mengingatkan penerima supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan mesej penipuan, kerana kementerian tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram