
PROGRAM bantuan tunai kerajaan iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menjadi topik hangat dibincangkan susulan pendaftarannya yang baru dibuka pada Isnin (13 Oktober) bagi permohonan tahun 2026.
Laman web rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 'hang' kerana menerima aliran trafik cukup tinggi daripada orang ramai yang mahu menyemak kelayakan masing-masing.
Namun di sebalik keterujaan itu, timbul rungutan daripada individu bujang kerana berasa seolah-olah tercicir memandangkan tiada lagi bantuan STR diberikan kepada mereka.
BACA LAGI: Permohonan STR 2026 mula dibuka, panduan kemas kini akaun dan buat permohonan baharu
BACA LAGI: Belum hujung bulan BUDI95 dah habis, 300 liter tak cukup nak balik kampung sempena cuti umum
Usah panik! Anda bukan tidak layak menerima STR sebaliknya bantuan tersebut sudah disusun semula di bawah Belanjawan 2026 dengan penyesuaian terhadap bentuk dan kadar bantuan.
Bagi individu bujang berumur bawah 60 tahun dengan gaji bawah RM2,500, mereka tidak lagi akan menerima STR mulai 2026.
Sebaliknya, bantuan RM600 akan diberikan dalam bentuk kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan keperluan di pasar raya terpilih.
Ini bermakna mereka akan menerima keseluruhan RM700 termasuk bantuan tambahan RM100 dalam bentuk SARA yang akan diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas pada Februari tahun depan.
Pemberian khas sebanyak RM100 itu bertujuan membantu rakyat membuat persiapan awal menjelang Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
Sebagai rekod, penerima STR bujang sebelum ini menerima RM600 secara tahunan menerusi pengagihan secara berfasa meliputi Fasa 1, 2 3 dan 4.
Tarikh bayaran STR Fasa ke-4 adalah pada 18 Oktober 2025 dengan kredit RM150 secara automatik ke akaun bank penerima.
Apa yang dapat dirangkumkan ialah komponen bantuan tunai dikurangkan manakala bantuan dalam bentuk kredit untuk pembelian barangan keperluan asas ditingkatkan.
Tempoh permohonan baharu dan perubahan permohonan STR adalah sepanjang tahun mulai 13 Oktober 2025.
Untuk maklumat terkini mengenai STR layari www.bantuantunai.hasil.gov.my — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram