'Anak saya ditikam 200 kali', ibu pelajar maut rayu hentikan sebar cerita palsu


  • Massa
  • Khamis, 16 Okt 2025

Yap Shing Xuen, 16, maut selepas ditikam di SMK Bandar Utama 4 dekat Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lalu.

ANAK saya ditikam 200 kali.” Itu luahan pilu seorang ibu, Wong Lee Ping, 44, yang kehilangan anak perempuannya, Yap Shing Xuen, 16, selepas ditikam rakan sekolah dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama 4 dekat Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lalu.

Sambil menahan sebak, Lee Ping berkata, banyak laporan tidak tepat tular di media sosial mengenai jumlah tikaman yang diterima anaknya.

“Ada laman web yang menulis anak saya ditikam 50 kali, tetapi sebenarnya dia ditikam 200 kali.

BACA LAGI: Pelajar perempuan Tingkatan 4 maut ditikam pelajar lelaki 14 tahun di PJ

BACA LAGI: Diam-diam jadi 'secret admirer', suspek tikam di Bandar Utama kenal mangsa dari kelas peralihan

"Dari leher, paru-paru hingga ke kaki,” katanya pada sidang media di Nirvana Center Kuala Lumpur (NCKL) pada Khamis.

Menurut Lee Ping, anaknya diserang ketika berada di dalam tandas sekolah.

“Polis beritahu kami suspek lelaki berusia 14 tahun itu melompat dari atas pintu kerana ia berkunci.

"Anak saya menjerit minta tolong dan orang dengar.

“Selepas menikam, suspek lari dan tinggalkan anak saya di dalam tandas. Bila guru pecahkan pintu, dia sudah... tiada,” katanya dalam nada sebak.

Senjata yang dirampas oleh polis dari suspek.

Lee Ping turut merayu orang ramai menghentikan penyebaran cerita palsu dan sensasi mengenai kematian anaknya.

“Anak saya sudah menjadi mangsa. Tolonglah berhenti reka cerita. Dia tidak kenal, tidak pernah bercakap dan tiada sebarang hubungan dengan budak itu,” katanya.

Menceritakan peribadi mendiang, Lee Ping menyifatkan Shing Xuen sebagai pelajar pintar, berdikari dan penyayang.

“Dia baru menang tempat kedua dalam acara sukan IS KL dua hari sebelum kejadian.

"Anak saya sangat teratur, baik hati dan tidak pernah menyusahkan kami. Dia gadis yang manis,” ujarnya sambil menangis.

Dalam pada itu, Lee Ping menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pautan palsu menggunakan kod QR bagi mengutip derma kononnya untuk keluarganya.

“Jangan derma melalui pautan itu. Kalau betul ingin tunjuk simpati, datanglah ke sini untuk beri penghormatan terakhir,” katanya.

Suspek (kiri) kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Lee Ping turut kesal dengan dakwaan palsu kononnya abangnya, Wong Yoon Lim, mempunyai pertalian dengan suspek.

“Dia hanya teman saya menuntut jenazah anak, tapi ada portal mendakwa dia bapa kepada suspek.

"Itu fitnah dan dia sudah buat laporan polis,” jelasnya.

Sementara itu, bapa tiri mangsa, How Boon Chin, 60, meluahkan kekecewaan terhadap spekulasi tidak berasas di media sosial dan menggesa orang ramai berhenti menokok tambah cerita.

“Orang bercakap ikut suka. Cukuplah. Kejadian ini sudah cukup menyayat hati. Malah ada pelajar kini takut untuk ke sekolah,” katanya.

Boon Chin turut mempersoalkan bagaimana senjata tajam boleh dibawa masuk ke sekolah sedangkan telefon bimbit pun dilarang.

“Telefon pun tak boleh bawa, tapi pisau boleh masuk. Pihak sekolah perlu siasat perkara ini dengan serius,” tegasnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Selasa lalu, mangsa Tingkatan 4 itu maut selepas ditikam oleh pelajar lelaki berusia 14 tahun di dalam tandas sekolah.

Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Upacara penghormatan terakhir untuk Yap Shing Xuen akan diadakan di NCKL, Aras 3, Imperial Memorial Hall, bermula Jumaat hingga lima hari bagi membolehkan keluarga, rakan dan guru memberi penghormatan terakhir. — The Star/KHOO GEK SAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram