Belanjawan MADANI 2026 pacu Malaysia ke arah ‘AI Nation 2030’ – MDEC


  • Bisnes
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Belanjawan MADANI mengiktiraf pembinaan masa depan digital dan AI memerlukan usaha menyeluruh seluruh negara. — Gambar hiasan

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyifatkan Belanjawan MADANI 2026 sebagai pemangkin strategik nasional yang bakal mempercepatkan usaha menjadikan Malaysia Negara Kecerdasan Buatan (AI Nation) menjelang tahun 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, belanjawan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan diperincikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, adalah pelan berani tetapi praktikal dalam memperkukuh asas ekonomi digital negara yang selamat, inklusif dan dipacu inovasi.

“Belanjawan ini mengiktiraf bahawa pembinaan masa depan digital dan AI memerlukan usaha menyeluruh seluruh negara. Ia menyelaraskan pelaburan dalam bidang AI, teknologi canggih dan pembangunan bakat dengan keperluan industri serta rakyat,” katanya dalam kenyataan.

BACA LAGI: Dari Port Klang ke Makkah, pelayaran kapal mewah IslamiCruise bawa jemaah alami pengalaman unik umrah

BACA LAGI: BUDI95 mula dibuka kepada rakyat Malaysia miliki lesen Singapura, semak 3 kriteria utama pastikan layak terima

Anuar akan memastikan MDEC terus memainkan peranan sebagai jambatan strategik antara dasar dan pelaksanaan.

Menurut beliau, MDEC komited untuk menterjemahkan visi nasional itu kepada hasil nyata melalui pembangunan ekosistem, kerjasama strategik serta laluan bakat yang akan memacu Malaysia ke arah AI Nation 2030.

Antara peruntukan utama yang mendapat perhatian termasuk RM53 juta bagi Malaysia Digital Acceleration Grant (MDAG), RM18 juta untuk Pejabat AI Kebangsaan (National AI Office) dan RM2 bilion buat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membangunkan Sovereign AI Cloud.

Selain itu ialah RM30 juta kepada CyberSecurity Malaysia serta RM7 juta kepada MIMOS bagi menerajui inovasi blockchain dan pengesanan deepfake.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, dana MDAG menunjukkan sokongan kukuh kerajaan terhadap usaha Kementerian Digital untuk mengintegrasikan NextGen Tech ke dalam agenda digital Malaysia, sekali gus mempercepatkan penerimagunaan teknologi seperti AI, blockchain dan pengkomputeran kuantum.

“Peruntukan strategik ini akan memperkasa syarikat di bawah inisiatif Malaysia Digital, terutamanya dalam fasa pengembangan dan komersialisasi, agar mampu menjadi pemain utama di peringkat serantau dan global,” katanya.

Pada masa sama, MDEC menyambut baik peruntukan RM5.9 bilion bagi penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi yang dilihat mampu merangsang industri bernilai tinggi serta memperkukuh ekosistem inovasi negara.

“Peruntukan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi serantau bertujuan memupuk teknologi generasi baharu, memperkukuh kerjasama awam-swasta, dan mendorong komersialisasi inovasi ‘Made by Malaysia’ ke pentas global,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa projek infrastruktur transformasi seperti Kabel SALAM bernilai RM2 bilion dan Sovereign AI Cloud bernilai RM2 bilion bukan sahaja memperkukuh infrastruktur digital negara, malah memperlihatkan Malaysia sebagai penyumbang global dalam landskap teknologi dunia.

Kejayaan Upin & Ipin Universe membuktikan kreativiti dan teknologi tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. — Gambar hiasan 

Selain itu, fokus terhadap ekonomi jingga juga dianggap langkah strategik dengan peruntukan RM20 juta bagi sektor animasi dan permainan digital tempatan bagi merebut peluang dalam ekonomi kreatif global.

“Ekonomi jingga dijangka menyumbang RM32 bilion kepada KDNK menjelang 2030. Momentum daripada Level Up KL 2025 dan kejayaan Upin & Ipin Universe membuktikan kreativiti dan teknologi tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Anuar turut memuji langkah kerajaan memberikan potongan cukai 50 peratus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi latihan dalam bidang AI dan keselamatan siber, yang dilihat sebagai dorongan untuk mempercepatkan pembangunan bakat tempatan.

“Kami mahu menginspirasikan setiap rakyat Malaysia untuk merebut peluang dalam ekonomi berasaskan AI melalui peningkatan kemahiran dan inovasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, MDEC akan terus memainkan peranan sebagai jambatan strategik antara dasar dan pelaksanaan, memastikan setiap pelaburan di bawah Belanjawan MADANI 2026 memberikan kesan yang nyata kepada negara.

“Belanjawan MADANI 2026 menetapkan rentak pelaksanaan nasional. MDEC akan bekerjasama rapat dengan kementerian, industri dan komuniti bagi memastikan setiap ringgit yang dilaburkan memberi impak yang boleh diukur,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram