
MALAYSIA merekodkan jumlah kelahiran hidup terendah sejak 1980 dengan hanya 414,918 kelahiran pada tahun 2024, menurun sebanyak sembilan peratus berbanding 455,761 kelahiran pada 2023, menurut laporan Perangkaan Penting 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bayi lelaki masih melebihi perempuan dengan 213,919 kelahiran lelaki berbanding 200,999 kelahiran perempuan.
“Penurunan jumlah kelahiran hidup ini turut menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran kasar (CBR) daripada 13.6 pada 2023 kepada 12.2 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2024,” katanya pada Khamis.
BACA LAGI : Negeri paling bahagia di Malaysia kekal jadi destinasi pilihan sukan lasak 4x4
BACA LAGI : 'Tak sia-sia selama ini practice gelak Datuk-Datuk', Jojo Ghazali terima anugerah Ahli Bintang Sarawak
Menurut beliau, nisbah jantina kelahiran (SRB) juga menunjukkan penurunan daripada 107.4 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada 2023 kepada 106.4 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada 2024.
Mohd Uzir turut memaklumkan bahawa kelahiran kaum Melayu mencatatkan 65.7 peratus (272,718 kelahiran) daripada jumlah keseluruhan pada 2024, menurun berbanding 67 peratus (305,494 kelahiran) pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Sementara itu, kelahiran kaum Cina meningkat sedikit daripada 9.8 peratus (44,818) kepada 10.8 peratus (44,914), manakala kelahiran kaum India menurun daripada 4.4 peratus (20,064) kepada 4.3 peratus (17,914).
Tambah beliau, semua negeri mencatatkan penurunan kadar kelahiran kasar (CBR) pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Terengganu merekodkan kadar kelahiran tertinggi dengan 19.3 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk, manakala Pulau Pinang mencatat kadar terendah iaitu 10.1 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.
Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) turut menurun daripada 1.7 anak bagi setiap wanita pada 2023 kepada 1.6 anak pada 2024, dan kekal di bawah paras penggantian generasi 2.1 anak sejak 2013.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, Malaysia turut merekodkan 198,992 kematian pada 2024, meningkat 1 peratus berbanding 196,965 pada 2023.
Bagaimanapun, kadar kematian kasar (CDR) menurun sedikit daripada 5.9 kepada 5.8 kematian bagi setiap 1,000 penduduk.
Jumlah kematian lelaki direkodkan sebanyak 113,866 kes, manakala kematian perempuan sebanyak 85,126 kes.
Kumpulan umur 70 hingga 74 tahun mencatatkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 24,513 kes (12.3 peratus), manakala kumpulan 5 hingga 9 tahun mencatatkan jumlah terendah dengan hanya 412 kes (0.2 peratus). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram