
INSIDEN seorang murid perempuan yang cedera di kepala di sebuah sekolah rendah dekat Sipitang, Sabah pada Khamis bukanlah berpunca daripada kes buli atau pergaduhan yang didakwa, sebaliknya akibat kemalangan ketika bermain bersama rakan di sekolah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah, Ag Ku Jainuddin Ag Wahab berkata, siasatan awal mendapati murid berkenaan mengalami kecederaan ketika bermain, bukannya dipukul seperti yang didakwa dalam hantaran tular di media sosial.
“Pihak sekolah mengambil tanggungjawab penuh terhadap kejadian ini dan bertindak segera membawa murid berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI : [VIDEO] Wanita, 9 pelajar cedera ringan dihempap runtuhan lepas puting beliung badai Sijangkang
Ag Ku Jainuddin menjelaskan, gambar yang tular itu sebenarnya dirakam semasa murid terbabit dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak sekolah.
Menurutnya, ibu bapa murid terlibat telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan pihak sekolah memberi jaminan akan terus menitikberatkan aspek keselamatan serta kebajikan semua murid.
“Kami juga akan mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suanda mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.
Terdahulu, gambar seorang murid perempuan berseragam sekolah dengan kesan darah di kepala tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna internet.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11 pagi di sebuah sekolah rendah di daerah ini sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram