Negeri paling bahagia di Malaysia kekal jadi destinasi pilihan sukan lasak 4x4


  • Podium
  • Isnin, 06 Okt 2025

Terengganu International GPx4 Offroad Challenge mempertaruhkan kategori 'Litecore Open' dan 'Camping Body Hardcore' bagi dua hari perlumbaan yang telah berlangsung di Belukar Bukit, Hulu Terengganu.

NEGERI paling bahagia, Terengganu sekali lagi kekal menjadi destinasi pilihan sukan lasak 4x4 setelah penganjuran Terengganu International GPx4 Offroad Challenge berjaya menarik 174 pelumba dari seluruh negara melibatkan 87 jentera lumba untuk berkampung selama dua hari perlumbaan di Belukar Bukit, Hulu Terengganu, Terengganu.

Melihat pada momentum jumlah penyertaan dari serata negeri dan prestij penganjuran yang turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) termasuk kerajaan negeri Terengganu, pengarah pertandingan iaitu Muhammad Muzammil Mokhetar tidak menolak untuk mengangkat prestij penganjuran ke peringkat lebih tinggi pada tahun hadapan.

BACA LAGI: Pusat Sains Kuala Terengganu tempuh lebih 100km demi bawa sains ke luar bandar

BACA LAGI: [VIDEO] MB Terengganu turun tinjau runtuhan benteng Batu Rakit, warganet desak semak kontrak dan buat pelan pemulihan

"Terengganu sememangnya negeri bertuah untuk penggiat sukan lasak 4x4 di mana mempunyai cabaran yang tersendiri dan berbeza berbanding di lain-lain negeri.

"Pelbagai bentuk muka bumi di sini memberi cabaran berganda buat setiap pasukan bertanding dan itulah yang mereka mahukan.

"Sokongan padu daripada pihak MOTAC dan kerajaan negeri Terengganu untuk turut sama berganding bahu selaku rakan kongsi memberi nilai tambah prestij bagi penganjuran ini. Juga memberi penanda aras baharu buat sukan ini di mana sebelum ini kurang mendapat perhatian sewajarnya," ujar Muhammad Muzammil yang juga merupakan presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4x4) selaku jawatankuasa perlumbaan ini.

Aksi jentera Land Rover Defender Series 3 88 taruhan pasukan GG 4x4 mencuri tumpuan sewaktu perlumbaan lasak 4x4 Terengganu International GPx4 Offroad Challenge.

Pandangan itu disambut baik oleh Exco Pelancongan Terengganu, Datuk Razali Idris yang melihat penganjuran perlumbaan jentera lasak 4x4 tersebut tidak hanya berjaya menarik jumlah penyertaan yang besar malah turut memberi tempias pada sosio ekonomi setempat walaupun ianya berlangsung jauh dari bandar.

"Sudah tentu penanda aras sedemikian menjadi matlamat kami di Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu di mana bukan hanya berjaya menarik jumlah kehadiran pelancong melalui penyertaan pasukan-pasukan lumba dari luar Terengganu malah mampu untuk memberi ruang bagi sosio ekonomi penduduk setempat.

"Situasi ini meletakkan Terengganu di landasan yang tepat sebagai negeri pelancongan sukan sekali gus menjadi pentas terbaik untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berbaki kurang dari dua bulan lagi nanti.

"Tahniah kepada penganjur untuk sekali lagi membuktikan sukan lasak 4x4 ini mempunyai prestij tersendiri untuk di angkat ke peringkat yang lebih tinggi di mana kita boleh melihat di sini juga turut menerima penyertaan dari luar negara," kata Razali.

Barisan teknikal penganjuran Terengganu International GPx4 Offroad Challenge melibatkan kerjasama di antara Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT 4x4) bersama Kelab Terjoh 4x4 Terengganu selaku tuan rumah yang telah berlangsung di Belukar Bukit.

Beliau hadir menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada setiap pemenang yang telah berlangsung pada malam hari terakhir penganjuran.

Pada perlumbaan yang telah berlangsung selama dua hari ini, pasukan Rubber Tipper yang berpangkalan di Merapoh, Pahang muncul juara keseluruhan bagi acara ‘short wheel base’ kategori Litecore.

Manakala juara keseluruhan ‘long wheel base’ Litecore pula menjadi milik pasukan Andak TXV. Bagi kategori ‘Camping Body Hardcore’, juara keseluruhan milik pasukan Boeing B.

Untuk rekod, penganjuran itu merupakan hasil kerjasama di antara Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah(UT 4x4) dan Kelab Terjoh 4x4 Terengganu dengan kedua-dua pasukan berpangkalan di Kuala Nerus.

Razali (tiga dari kiri) sewaktu hadir menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang Terengganu International GPx4 Offroad Challenge yang telah berlangsung di Belukar Bukit.

Kedua-dua kelab berkenaan telah mencetus sensasi prestij penganjuran sukan permotoran 4x4 tempatan setelah berjaya menganjurkan Cabaran 4x4 Merdeka Challenge 2025 pada Ogos lalu.

Turut berlangsung sewaktu dua hari perlumbaan itu adalah perhimpunan Jamboree Peminat 4x4 Malaysia, menghimpunkan 948 buah jentera 4x4 dari seluruh negara yang dikelolakan oleh Kay Adventure dari Kajang, Selangor sekaligus memberi tambah nilai terbaik pada penganjuran berkenaan.

Malah, kejayaan penganjuran sukan lasak 4x4 berkenaan membuktikan Terengganu yang muncul sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024, dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada September lepas sekali gus menjadikan Darul Iman negeri paling sesuai menjadi tuan rumah acara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram